Keikhlasan Seorang Pendakwah

 

Ramai yang berkata tentang ikhlas, ada yang mempertikaikan keikhlasan seseorang, ada pula yang mendakwa tindakannya dibuat secara ikhlas. Apa sebenarnya ikhlas? Benarkah manusia, khususnya umat Islam di dunia kini terlalu kurang keikhlasan? Ikhlaskah diri kita dalam berdakwah, berpolitik, menulis, belajar, mengajar, mendidik dan berniaga? Ini satu persoalan yang besar di sisi Islam dan keikhlasan memerlukan satu mujahadah besar. Ia tidak mudah dan hanya mampu dicapai KECUALI oleh mereka yang benar-benar telah berjaya menanggalkan kecintaan kepada semua jenis makhluk, sama ada ia adalah pangkat, pujian, harta, dianggap selebriti, wang dan kebanggaan.

Allah Taala mengingatkan (maksudnya), “Katakanlah; sesungguhnya aku diperintahkan supaya mengabdikan diri kepada Allah dengan ikhlas ketaatan kepadaNya dalam (menjalankan) agama” – Surah Az Zumar:11

Nabi S.A.W pula bersabda (maksudnya), “Sesungguhnya Allah Taala tidak akan menerima amalan kecuali apa yang dibuat dalam keadaan ikhlas, berkeinginan kepada wajahNya” (Sahih Al Bukhari, no 97, kitab al Ilm)

Imam Abu Al Qasim Al Qusyairi, seorang ahli tasauf yang terkemuka memberikan definisi Ikhlas sebagai, “Ikhlas adalah mengesakan hak Allah Taala dalam segala amalan ketaatan dengan niat, iaitu dia melakukan amalan ketaatannya hanyalah untuk menghampirkan diri kepada Allah Taala, tiada apapun selain itu, iaitu mereka yang melakukannya kerana Makhluk, atau kerana ingin mendapat pujian mereka, serta kecintaan kepada pujian makhluk, atau apa jua sebab-sebab yang selain redha Allah. Boleh juga dikatakan, bahawa Ikhlas itu adalah pembersihan (niat) diri (semasa amalan) dari segala perhatian manusia”. (Al Risalah Al Qusyairiah, tahqiq Abd Halim Mahmud, 1/443)

Memang mudah untuk melafazkan kata ikhlas, mudah juga untuk cuba menyakinkan diri bahawa diri ikhlas dalam perjuangan, namun untuk benar-benar memastikan hati sentiasa istiqamah ikhlas kepada Allah Taala, ia bukan satu tugas yang mudah, namun ia maha penting dan penentu masa depan kita tatkala berdepan dengan Allah Taala kelak.

Ada yang berkata, ketidakikhlasan itu boleh terlihat dek tanda-tanda dari mulut melalui cakap-cakap dan kata-katanya, dari tulisan melalui baris ayatnya, dari tindakan melalui memek wajah dan pergerakannya. Apapun, persoalan utama bukanlah ghairah dan sibuk meneliti keikhlasan orang lain serta mempertikaikannya, tetapi adalah meneliti dan memperbaiki diri sendiri.

Pendakwah melalui medan ceramah hari ini sangat tercabar, bukan kerana bimbang ditangkap kerana ketiadaan tauliah, atau dikurung di dalam akta ISA kerana sebab yang tidak munasabah, itu tidak mencabar. Tetapi yang sebenarnya, apa yang lebih mencabar adalah menjaga hati untuk ikhlas. Ada yang ‘jatuh’ kerana beberapa tujuan baru yang mengambil alih tempat ‘ikhlas’ kerana Allah Taala iaitu :

• Keujuban di dalam diri : Ada penceramah yang merasa diri sebagai hero dan telah mencapai maqam pejuang berkorban persis Nabi Ibrahim A.S apabila mereka ditangkap, dipenjara dan didenda oleh pihak yang menghalang dakwah.  Malangnya, ujian itu merosakkannya, hingga dirasakan diri terlalu hebat, lalu dinafikan ketulenan pejuang lain yang belum ditangkap sebagai amatur dan bertaraf rendah. Sama ada melalui tulisan, percakapan mahupun gerak hatinya. Lebih menyedihkan jika peristiwa halangan ini mengubah niatnya kepada untuk terus menerus dilihat gagah dan berani dalam dakwahnya. Hilang habislah tujuan Allah dari hatinya.

• Imbuhan dan bayaran : Penceramah sekali lagi digegarkan keikhlasan mereka akibat imbuhan dan bayaran. Mungkin pada mulanya ramai penceramah yang mampu berniat ikhlas kerana Allah, menyampaikan ilmu kerana menurut sunnah Rasululah S.A.W. Namun, lama kelamaan, apabila nama menaik, muncul di kaca TV, di corong radio, berteleku di hadapannya para bangsawan, menteri, jutawan dan pembesar, ikhlasnya menjadi semakin terhakis. Populariti menjadikannya semakin ‘sakit’ di sisi Allah Taala. Sebarang ceramah tanpa bayaran atau tidak menepati statusnya akan ditolak mentah atau dituntut tunggakan bayaran. Jika sekadar tambang dan kos-kos biasa, mungkin ia munasabah, namun apa yang dituntut dan diminta adalah tinggi menggunung tanpa mengira status pihak yang menjemput. Ketika itu, imbuhan dan bayaran telah mengambil tempat Allah Taala dalam hatinya.

• Kecintaan kepada pujian : Penceramah juga diserang oleh rasa cinta kepada pujian manusia, segala isi ceramah cuba difikirkan apa yang sesuai dan disukai oleh pendengar, jika pendengar sukakan gelak, seribu satu macam ceritera lucu mengundang tawa akan dimainkan. Jika pendengar sukakan dalil-dalil dan kata-kata ulama dan para sahabat akan dipersembahankan. Jika pendengar sukakan ‘nota kaki’ dan nama kitab, itu juga akan digariskan dan disebutkan dengan lancar lagak seorang mujtahid ulung. Benar, ada yang mampu untuk terus ikhlas, menyediakan semua itu bagi menambah keberkesanan ceramahnya, membawa manusia kepada Allah Taala, namun tidak sedikit yang ikhlasnya menjadi pudar, lalu semua itu disediakan agar dilihat, ‘Hebat’, ‘Alim’, ‘Pakar’ ‘Bijak’, ‘Best’, ‘Sarjana’, ‘Setaraf Tok Guru’, ‘Mujtahid’ dan pelbagai lagi tujuan-tujuan salah yang dimomokkan oleh hasutan nafsu setiap hari.

Pendakwah Melalui Tulisan

Ada di kalangan insan yang soleh lagi baik ini, tidak berkemampuan dalam bertutur lancar dan menawan. Namun, dianugerahi kelebihan menulis yang baik dan mengkagumkan. Lalu pendawkah ini mula mengorak langkah menulis buku-buku, membuka web sendiri dan blog, menyebar ilmu melalui tulisannya di forum-forum maya, majalah, buletin dan sebagainya. Niatnya hanyalah satu, iaitu menyebarkan ilmu bagi mendekatkan manusia kepada Allah Taala, redha Allah adalah objektif. Namun, dari semasa ke semasa, objektif unggul itu boleh sahaja menjadi pudar akibat :

• Royalti & Honorium 

Hasrat dunia sekali lagi boleh menjadi penghalang bagi seseorang penulis untuk istiqamah dalam keikhlasan. Royalti dan honorium sudah mengambil tempat ‘Kerana Allah’,  tujuan dan objektif tertinggi yang sepatutnya ‘Akhirat’ sudah berubah nama kepada ‘Dunia’. Begitupun sebenarnya keikhlasan itu boleh wujud sama ada di ketika seseorang pendakwah menerima imbuhan wang hasil penulisan atau ceramahnya, atau juga sebaliknya. Apa yang terdetik di dalam hati serta menjadi tujuan diri, itulah jawapannya sama ada kita meniatkan perkara yang kita lakukan untuk Allah atau tujuan yang lain. Jika honorium dan royalti tidak memberi kesan kepada hati dan niat asal perjuangannya, ia masih boleh mengekalkan ikhlas di sisi Allah walau menerima gunungan royalti.

Bagi individu ikhlas yang mengambil royalti, apa yang diperolehi pasti digunakan bagi menambahkan amal bakti kepada umat Islam yang kurang bernasib baik atau menjalankan tanggung jawab dan kewajiban yang tertanggung ke atas dirinya seperti menyara kehidupan keluarga, isteri dan anak-anak. Hasilnya pahala kebajikan akan berganda hasil royalti dan honorium yang diterima.

Apapun orang lain tidak perlu mengukur ikhlas orang lain, tidak perlu juga mempertikai atau mengiakan keikhlasan seseorang. Cukuplah masing-masing mengukur keikhlasan dirinya dan fikirkan tentangnya sentiasa.

• Pujian, Nama dan Selebriti 

‘Aku menulis bukan kerana nama’, itulah laungan lagu yang sudah sekian lama kita dengari. Pendakwah mungkin menulis di peringkat awalnya, hanya kerana Allah. Namun, ketika pujian mencurah-curah datang tanpa ditagih. Hatinya kian terganggu, bukan apa… Terganggu apabila beberapa tulisannya tidak dipuji sebagaimana sebelumnya. Tatkala itu, keikhlasannya hancur. Tempatnya diambil oleh ‘Tuhan baru’ iaitu ‘pujian’ dan ‘sanjungan’. Redha manusia menjadi objektif barunya kini. Semuanya kerana dia menyedari sanjungan itu akan boleh membawanya kepada mencipta nama, bukunya boleh menjadi ‘best seller’ kerana peminat fanatiknya itu, wang boleh mencurah jatuh ke atas ribaan.

Ibn Mas’ud R.A meriwayatkan, ketika beliau keluar berjalan, kerap ada ramai yang mengikutnya, bagi mendapatkan ilmu darinya, lalu beliau berkata kepada khalayak yang mengikutinya, Atas sebab apakah kamu semua mengikutiku? Demi Allah kalau kamu tahu apa yang aku lakukan dibalik pintuku yang tertutup nescaya tiada siapa yang akan mengikutiku lagi”. ( Ihya Ulumiddin, Imam Al Ghazali & Tafsir Ibn Kathir, 6/343)

Justeru, maka sedarilah diri yang mudah lupa, syaitan sentiasa berusaha menghancurkan kewarasan iman kita. Ikhlas kita sering menjadi sasaran syaitan untuk dilupuskan.  Bukankah ia sebuah ujian yang sukar buat para pendakwah? Ya tentunya, malah mungkin lebih sukar dari ditangkap dan di penjara jasad. Hati yang terpenjara dengan niat selain Allah adalah sebesar-besar kegagalan manusia, yang sepatutnya menjadi hamba dan khalifah Allah Taala.

• Ahli Akademik, Pangkat & Gelaran 

Sebahagian pendakwah dari kalangan penulis terdiri dari golongan bijak pandai di universiti, khususnya di fakulti-fakulti yang melibatkan Islam. Mereka banyak mengkaji dan menulis hasil kajian mereka dan seterusnya disiarkan melalui buku, jurnal, pembentangan di konferens dan seminar dan sebagainya. Niat asal tidak lain tidak bukan hanya mencapai redha Allah dan mencerahkan manusia kepada jalan keredhaan Ilahi. Merungkai yang kusut, menjernih yang keruh, melurus yang bengkok dan memurnikan yang bergolak. Namun, sebagaimana pendakwah yang lain, kumpulan ini juga turut digoda dan akhirnya niat ikhlas tersasar dari landasannya. Tiada manusia yang maksum dari godaan ini kecuali Para Rasul termasuklan Baginda Nabi S.A.W.

Justeru itu, tulisannya digubah indah lagi rumit dipenuhi bahasa-bahasa akademik yang menurutnya “khas untuk pembacaan bijak pandai”. Ya, itu perlu bagi menunjukkan kebijaksanaannya. Jurnal-jurnal menjadi ‘kegilaan’ ahli akademik di zaman ini, begitu banyak senarai jurnal dalam catitannya, sama ada jurnal kelas tinggi, sederhana dan rendah. Akhirnya, penulisan mereka hanya menjadi bahan simpanan arkib, tetapi malangnya tidak mampu menjadi rujukan kepada masyarakat.

Pendakwah Melalui Politik, Jawatan Dan Pangkat

Ada sekumpulan pendakwah, berjuang Islam dengan gerakan dan mencari redha Allah melalui jalan politik. Di dalam hati mereka tertulis, ingin melaksanakan yang terbaik untuk mencapai maqam terbaik di sisi Allah, lalu jalan ini diambil selain jalan-jalan sampingan yang lain juga turut digunakan. Namun liciknya syaitan, dengan mudah sahaja seorang pendakwah Islam melalui medium politik boleh jatuh tersungkur nilai amalannya di sisi Allah. Akhirnya dia berjuang bukan lagi kerana Islam dan redha Allah, tetapi kerana kecintaan kepada penyokong yang ramai, pangkat, pejabat besar dan puja-puji orang bawahan.

Lebih parah, apabila dipandang hina semua pendakwah yang tidak berjuang sepertinya atau ‘tidak berjuang melalui jalan politik’. Dirasakan mereka itu semua bacul, penakut, sebahagiannya munafiq, tercicir di jalan dakwah, hanya ingin berjuang dalam comfort zone, pendakwah ‘mee segera’ dan pelbagai lagi perasaan benci dan gelaran buruk kalau boleh disebatikan dengan pendakwah yang tidak sepertinya. Tatkala itu, hancurlah amalannya, bukankah telah disabda Nabi S.A.W bahawa ‘ujub itu menghancur amalan.

Lebih jauh dari itu, digelar pula dirinya sebagai mujahid, pejuang Islam tulen atau pelbagai gelaran lain bagi menunjukkan dirinya sedang berjuang dengan gagah berani lagi sengit. Tidak seperi pendakwah lain. Sepatutnya, jika gelaran ‘mujahid’ itu diberi orang, janganlah dia terkesan dengannya, kerana dirinya mungkin dilihat pejuang di sisi manusia, namun belum tentu di sisi Allah. Orang yang berjuang boleh berdoa agar tergolong di kalangan pejuang, namun untuk melabelkan diri sebagai ‘pejuang’, itu bukan caranya. Biar Allah sahaja menentukan kita adalah pejuang atau tidak. Tugas kita adalah memperjuangkan agamaNya tanpa mempedulikan penilaian dan pujian dari sesiapa.

Cabaran pendakwah melalui medan politik memang besar, ia boleh datang dari pihak sekular yang membencinya, lalu digunakan kuasa untuk menekan dan mengancamnya. Ia juga boleh datang dari nafsu yang jauh lebih arif tentang diri manusia. Boleh sahaja, perjuangan itu tersasar kerana keinginan kepada ‘kuasa’ terlebih dari sepatutnya.

Pendakwah Menuntut Ilmu

Selain berdakwah dengan mengajar, pendakwah juga sentiasa berterusan belajar dan terus belajar. Hasil ilmu asas yang baik dalam diri, dijadikan modal untuk meneruskan pembacaan dan galian ilmu yang tiada tara dalamnya. Namun, seseorang yang menuntut ilmu sering diingatkan Nabi S.AW agar berterusan menjaga keikhlasan. Ilmu yang dicari dan digali dengan niat menunjuk lebih pandai dan alim, jaguh berdebat, mengelirukan orang ramai, menutup kesalahan diri dan seumpamanya, akan pasti membuahkan ilmu-ilmu yang memporak perandakan masyarakat, bukan menyatukannya. Bukankah ilmu sepatutnya membawa kepada Allah, dan semua pihak yang bersama Allah akan bersatu padu sekalipun berbeza pandangan.

Namun hari ini, negara kita semakin ramai pendakwah dan ilmu yang digali dari pelbagai jenis negara dan guru. Malangnya, manusia dan umat Islam khususnya tidak semakin tenang, tetapi semakin bergolak. Lebih tinggi ilmu mereka ini, lebih bergolak dan berpecah orang di bawahnya. Kerana apa? WAllahu’alam.

Kesimpulan

Tulisan ini sebenarnya lebih kepada peringatan kami yang berada dalam gerakan dakwah ini. Ia disiarkan untuk dimanfaatkan oleh mana-mana rakan pendakwah yang sudi mengambil manfaat. Ia merupakan peringatan kepada salah satu cabaran terbesar buat para individu yang menceburi bidang dakwah, namun terlupa akan cabaran ini. Akhirnya minda dan hati, menjadi sarang yang busuk dek kuman dan virus yang menyelinap di dalam diri. Bimbang matinya kita kelak, merasa diri sudah berjuang dan berdakwah tetapi dilihat SEBALIKNYA oleh Allah Taala.

Terdapat sebuah hadis yang sangat memberi kesan kepada jiwa;

Antara yang terawal diadili di hari qiyamat kelak adalah  mereka yang mati syahid. Kemudian ditanya kepada mereka, “Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)? 

Jawabnya, “Aku telah berjuang untukMu (wahai Allah) sehingga mati syahid”. 

Dibalas, “Kamu berbohong, tetapi kamu berjuang untuk digelar – pejuang yang berani”. 

Setelah dikatakan begitu, lalu ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka. Ditanyakan pula kepada (orang kedua), “Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)? 

Jawabnya, “Aku mempelajari ilmu, mengajarkannya dan membacakan keranaMu Al Quran”.

Dijawab semula, “Kamu berbohong, kamu mempelajari ilmu agar kamu boleh digelar ‘alim, kamu membaca Al Quran agar digelar qari”. 

Setelah itu, ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka. Kemudian ditanyakan kepada (orang ketiga), “Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)? 

Jawabnya, “Tidak aku sesuatu yang engkau sukai untukku dermakannya kecuali telah aku dermakannya keranaMu” 

Dijawab semula, “Kamu berbohong kamu mendermakannya agar kamu digelar dermawan”. Lalu dia telah ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka. (Riwayat Muslim, no:3527, Kitab Al Imarah)

Semoga kita semua dijauhkan kita semua dari racun hati oleh si musuh Allah yang sentiasa bekerja keras untuk istiqamah atas landasan ikhlas yang sebenarnya. Bagi sesiapa yang telah berjaya ikhlas, tiba-tiba dipuja dan puji oleh manusia atas sumbangan dan kebaikannya, segala itu tidak memberikan kesan kepada kecintaan dan niatnya yang ikhlas kepada Allah. Mereka itulah yang disebut dalam hadis (maksudnya), ((Ditanya kepada Nabi S.A.W berkenaan seorang yang berbuat amal kebaikan, tiba-tiba manusia memujinya? Jawab Baginda, “Itulah ganjaran gembira yang didahulukan buat para Mukmin”)) Riwayat Muslim

Manakala Ibn Qayyim pula pernah berkata berkata, “Amal tanpa keikhlasan seperti musafir yang mengisi kantong dengan kerikil pasir. Memberatkannya tetapi tidak bermanfaat”

Benarlah, bahawa ikhlas adalah satu ujian yang lebih malah sangat sukar bagi seorang pendakwah dan Mukmin itu sendiri. Bagi lagi medium yang diceburi pendakwah termasuklah seni, drama, nasyid dan pelbagai lagi. Namun, semua akan menghadapi cabaran besar ikhlas, ia sebuah cabaran yang sangat sukar.

Sumber : www.tarbawi.my

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *