“Semua orang menunggu saat kematian, ada yang mati diserang apache, ada juga yang mati kerana serangan jantung. Sama ada mati dibunuh dengan apache dan serangan jantung ia sama sahaja.Tetapi saya memilih dengan Apache.” Asy-Syahid Dr.Abdul Aziz Rantisi …
Sebagaimana juga asy-Syahid Syeikh Ahmed Yasin yang mendahului beliau, Israel tidak pernah berasa aman dengan asy-Syahid Dr.Abdul Aziz Rantisi yang tidak pernah mengenal erti mengalah dan lemah. Tidak seperti pemimpin-pemimpin Palestin sekular yang siap untuk menggadaikan prinsip dan tanah air atas nama rundingan damai, Asy-Syahid Dr.Abdul Aziz Rantisi tidak pernah berganjak dari keyakinan bahawa bumi Palestin tidak mungkin ditukar ganti dengan apa pun.
Ketegasannya dalam perjuangan tidak dipersoalkan. Sewaktu Asy-Syahid Dr.Abdul Aziz Rantisidiusir bersama 416 orang pejuang oleh Israel di selatan Lubnan pada tahun 1992, beliau didatangi oleh seorang wartawan media barat mengajukan soalan “Kenapa HAMAS enggan iktiraf Israel?”
Jawapan yang diberikan oleh Asy-Syahid Dr.Abdul Aziz Rantisi meninggalkan wartawan tersebut sendiri kebingungan. “Israel yang mana? Israel 1948? Atau Israel 1967? Atau Israel 1981? Atau Israel 1993? Atau Israel 2000?”
Hakikatnya, Israel adalah entiti palsu yang tidak punya sebarang sempadan yang hakiki. Bagaimana mahu mengiktiraf sebuah negara haram yang tidak punya sebarang ketentuan sempadan kerana ia didirikan di atas negara orang lain yang dirompak dan dirampas semahunya dan sekehendak hati mereka. Lantaran itu Asy-Syahid Dr.Abdul Aziz Rantisi Rantisi berikrar “Israel tidak akan mengenal keamanan. Kami akan memerangi mereka sehingga Palestin dibebaskan, dibebaskan seluruhnya.”
Pilihan yang ada pada Israel hanya satu iaitu keluar dari bumi Palestin yang mereka jajah dan kembalikan hak rakyat Palestin yang mereka rampas. Jika mereka gagal untuk melakukan ini maka bersedialah untuk berhadapan dengan api jihad yang akan terus bersemarak membakar jiwa-jiwa para mukmin sehingga akhir.
As-Syahid Dr Abdul Aziz Ali Abdul Hafiz ar-Rantisi.
Graduan Universiti Iskandariah, Mesir
23 Oktober 1947 – 17 April 2004