Ramai yang bertanya apakah maksud saya menamakan mereka dengan “militia samseng upahan”. Siapa mereka ini sebenarnya?
Mereka ini dalam bahasa Arab disebut “baltojiyah” dan tugas mereka sama dengan kumpulan “syabih” yang berada di Syria untuk membantu askar Syria menyembelih rakyat. Jumlah kematian yang meningkat saban hari di Mesir antaranya disebabkan peluru “baltoji” (yang diterjemahkan sebagai ‘militia samseng upahan’).
Militia ini wujud sejak puluhan tahun dan semakin aktif di zaman Mubarak. Dalam buku saya, “Menanti Fajar Menyinsing” terbitan Telaga Biru, saya perincikan taktik serangan kumpulan ini pada hari revolusi Januari 2011 di Tahrir. Serangan ini bertujuan untuk rakyat lari menyelamatkan diri dari Tahrir namun gagal.
Bekas Ketua Agensi Perisikan Mesir yang telah meninggal dunia, Omar Suleiman pernah mendedahkan bilangan militia samseng di Mesir keseluruhan lebih kurang 500,000 orang dan mereka ini dijaga dan dipelihara oleh Unit Perisikan Perang, di bawah Majlis Tentera.
Manakala Presiden Parti Wasat (serpihan Ikhwan Muslimin), Ir. Abul ‘Ela Madhi pula berkata, Presiden Mursi pernah memberitahu beliau bilangan militia ini lebih 300,000 dan mereka mempunyai “tanzim” atau organisasi yang lengkap.
Mereka disebut sebagai “militia upahan” kerana dibiayai oleh orang kenamaan dan tokoh korporat yang menjadi kroni Mubarak. Sebagai contoh, di Mansurah pembiaya milita samseng ini bernama Waheed Fudah, bekas Ahli Parlimen dari parti Mubarak (NDP). Ramai lagi golongan kaya dari kroni Mubarak seperti Rejab Humaidah dan Abul ‘Ainain yang mempunyai “tanzim” samseng di bawah naungan mereka.
( Gambar ini ) insiden yang berlaku semalam di hadapan Kedutaan Amerika di Kaherah. Contoh jelas lelaki yang memegang pistol mengheret seorang penyokong Mursi dengan dikelilingi oleh samseng yang lain. Siapa lelaki itu? Mungkin polis berpakaian biasa atau mungkin ketua samseng upahan.
Kita pernah mendengar nama Sobry Nakhnukh, ketua militia samsneg Iskandariah yang diberkas tahun lepas antara mereka yang terkaya di negeri tersebut. Nakhnukh dijaga sendiri oleh bekas Menteri Dalam negeri zaman Mubarak, Habib ‘Adli.
Berapakah ‘gaji tetap’ kumpulan ini tidak diketahui. Cuma pernah didedahkan oleh bekas Ahli Parlimen, Dr.Mohammed Beltaji setiap operasi menyerang dan mengganas, mereka diberikan elaun. Sesiapa yang mampu menyerang menggunakan senjata api dibayar LE2,000, dengan pedang atau parang dibayar LE1,000 dan sesiapa hanya mampu membaling batu dibayar LE200. Selain bantuan kewangan, mereka ini turut dibekalkan dengan senjata api.
Mutakhir ini, apabila himpunan aman digempur oleh polis, mereka bukan datang hanya dengan ketumbukan mereka tetapi dibawa militia samseng-samseng ini bersama. Lihat malam serangan solat terawih di Ramsis, polis dilihat berada di belakang barisan militia samseng menyerang umat Islam yang sedang solat. Mereka saling melindungi antara satu sama lain bagi membelasah rakyat yang menuntut hak.
Ini bermakna KDN, polis dan askar sendiri yang membiayai militia samseng ini. Jika rakyat Syria mati disembelih oleh kumpulan “syabih” maka rakyat Mesir mati di tangan “baltojiyah”. Demikian sedikit catatan saya buat pembaca semua.
SUMBER :
Ustaz Muhammad Abdul malik Bin Abdul karim
Penasihat Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir