Hukum Talqin Kepada Si Mati

Antara barang yang cepat Sold Out dan berebut rakyat marhaen beli Lihat Sini
talqin
Perbincangan kali ini kita akan sama-sama menyingkap apakah hukum sebenar berkenaan talqin kepada si mati.Perkara ini menjadi perbahasan hangat di Malaysia khususnya kerana ada sebahagian golongan pelajar yang mentah ilmunya cuba-cuba untuk mengatakan perkara yang mereka tidak ketahui tentang kebenarannya.Hadis yang menjadi perbincangan di dalam tajuk ini ialah hadis:

((لقنوا موتاكم لا إله إلا الله))

Maksudnya: Talqinkanlah kepada si mati @yang dalam keadaan sakaratul maut dengan kalimah La ilaha illallah(Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah )

Al-Imam al-Nawawi rahimahullah menyebutkan di dalam kitab al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, bahawa maksud sebenar hadis ini ialah kepada sesiapa yang hampir kepada kematian iaitu dalam keadaan sakaratul maut. Maksudnya: Ingatkanlah kepada orang yang hampir kepada kematian tersebut dengan kalimah syahadah ini, semoga ianya menjadi kalimah terakhir yang disebutkan olehnya sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir. Ini berdasarkan hadis baginda sallallahu alaihi wasallam yang disebutkan oleh al-Imam Abu Daud di dalam kitabnya, dan al-Imam Hakim Naisaburi di dalam al-Mustadrak:

((من كان آخر كلامه لا إله إلا الله دخل الجنة))

Maksudnya: Sesiapa yang akhir kalimah yang disebutkan olehnya sebelum roh meninggalkan jasadnya ialah kalimah La Ilaha Illallah maka dia akan masuk ke dalam syurga.

Manakala al-Imam Muhibuddin al-Thabari, al-Imam Kamal Bin Humam , al-Imam Syaukani, dan selainnya rahimahumullah mengatakan bahawa lafaz موتاكم di dalam hadis tersebut adalah lebih jelas maksudnya kepada si mati. Pendapat yang mengatakan bahawa ianya adalah kepada orang yang hampir mati itu merupakan Majaz yang mana ianya memerlukan kepada qarinah.

 

Apakah yang dimaksudkan dengan Majaz ?

Di dalam bahasa Arab ada perkataan yang kita sebutkan sebagai Hakikat. Lawan bagi hakikat di dalam kalimah Arab ialah Majaz.

Hakikat ialah: استعمال اللفظ فيما وُضِع له maksudnya ialah:Penggunaan sesuatu lafaz tersebut dengan maksud yang telah diletakkan oleh ahli bahasa.

Contohnya jika saya katakan bahawa saya telah melihat bulan. Maka seseorang yang mendengar perkataan saya akan memahami bahawa bulan yang dimaksudkan oleh saya ialah bulan yang kita sedia maklum iaitu salah sebuah bintang yang terdapat di angkasa.

Majaz ialah: استعمال اللفظ فى غير ما وضع له لعلاقة مع قرينة مانعة من إرادة المعنى الحقيقي maksudnya ialah: Penggunaan sesuatu lafaz bukan pada maksud sebenar seperti yang diletakkan oleh ahli bahasa dengan alaqah( iaitu sesuatu perkara yang menjadi persamaan antara lafaz hakikat dan majaz) bersama dengan lafaz qarinah (sesuatu perkataan yang menjelaskan bahawa lafaz hakikat tersebut bukanlah maksud sebenar yang kita kehendaki).

Contoh mudah yang saya dapat berikan kepada sidang pembaca: Jika saya katakan, saya telah ternampak seekor singa sedang memberikan ucapan di atas pentas.

Pada mulanya, tentu orang yang mendengar perkataan saya mengambarkan seekor singa yang benar iaitu binatang buas yang dikenali. Tetapi selepas saya menyebutkan perkataan “sedang menyampaikan ucapan di atas pentas” Maka sidang pembaca tidak boleh lagi meletakkan maksud saya kepada singa yang sebenar tetapi sebaliknya kepada seseorang yang sangat berani dan gagah seperti singa sedang menyampaikan ucapan tersebut.

Tentu sidang pembaca tertanya mengapa saya membincangkan perkara ini. Sebenarnya saya ingin menerangkan apakah maksud sebenar yang telah disebutkan oleh al-Imam Muhibuddin al-Thabari, al-Imam Kamal Bin Humam, al-Imam Syaukani, dan selainnya rahimahumullah yang mengatakan bahawa perkataan موتاكم adalah hakikat bukannya Majaz. Jika sidang pembaca memahami maksud sebenar majaz dan hakikat tentu dengan mudah akan memahami maksud sebenar yang disebutkan oleh para ulama tersebut.

Ini kerana tidak terdapat sebarang qarinah yang menunjukkan bahawa perkataan موتاكم itu adalah ditujukan kepada orang yang hampir mati.

Jika golongan wahabi menolak pendapat ini dengan mengatakan bahawa maksud sebenarnya ialah kepada orang yang hampir mati dan menolak pendapat yang mengatakan bahawa maksudnya ialah kepada seseorang yang benar-benar mati, maka seolah-olah mereka tidak mempercayai dengan hadis baginda sallallahu alaihi wasallam :

(( ما من رجل يمر بقبر الرجل كان يعرفه في الدنيا فيسلم عليه إلا ردَّ الله روحه حتى يرد عليه السلام))

Maksudnya: Tiadalah seorang lelaki yang melalui kawasan kubur seorang lelaki yang dikenalinya ketika di dunia dahulu, maka dia memberikan salam(kepada ahli kubur tersebut) melainkan Allah subhanahu wa taala akan mengembalikan roh lelaki(yang telah mati) tersebut untuk menjawab kembali salam lelaki(yang masih hidup) tersebut.

Ini jelas menunjukkan bahawa orang yang telah mati mampu mendengar semua perkataan dan ucapan yang diucapkan kepadanya. Kata guru kami, Mufti Besar Mesir, Syeikh Ali Jum’ah hafizahullah: Perkataan talqin itu akan memberikan manfaat kepada si mati dan yang masih hidup.

Promosi hanya RM1 sahaja grab now !!

Jika kita mengabungkan pendapat kedua-dua Imam yang kita sebutkan iaitu al-Imam Nawawi rahimahullah(yang mengatakan bahawa maksud موتاكم itu ialah orang yang hampir mati) dan para Imam yang mengatakan bahawa perkataan موتاكم itu bermaksud kepada orang yang benar-benar telah meninggal dunia. Maka sebenarnya tidak ada perselisihan di antara mereka. Al-Imam Nawawi rahimahullah sendiri tidak menafikan bahawa موتاكم itu hanya dikhususkan untuk orang yang hampir mati sahaja.

Jadi, gabungan terbaik di antara dua pendapat ini ialah, kalimah syahadah tersebut boleh disebutkan di kedua-dua keadaan. Samaada sebelum mati ataupun selepas dikebumikan.

 

ADAKAH TERDAPAT HADIS YANG MENERANGKAN BAHAWA ADANYA TALQIN SELEPAS DIKEBUMIKAN?

Jawapannya ialah Ya. Tentu sekali ada.Ini kerana para ulama Islam mustahil bagi mereka melakukan perkara bid’ah yang tiada asal pengambilannya di dalam perkara Syara’. Golongan yang menentang talqin dengan semata-mata mengatakan bahawa ianya tiada asal pengambilan dan adalah bid’ah maka mereka telah melakukan fitnah yang besar kepada para ulama Islam yang benar-benar ikhlas menyampaikan Islam.

Al-Allamah al-Syeikh Ali Jum’ah hafizahullah menerangkan di dalam kitab beliau bahawa Jumhur para ulama mengatakan bahawa sunat kita membacakan talqin kepada si mati setelah dikebumikan berdasarkan riwayat al-Thabrani yang diriwayatkan oleh Sahabat Baginda sallallahu alaihi wasallam yang mulia,Saidina Abu Umamah al-Bahili radhiyallahu anhu. Hadisnya adalah seperti berikut:

أن أبا أمامة الباهلى رضى الله عنه قال: إذا أنا مت فاصنعوا بي كما أمرنا صلى الله عليه وسلم أن نصنع بموتانا, فقد قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : إذا مات أحد من إخوانكم فسوَّيتم التراب على قبره فليقم أحدكم على رأس قبره,ثم ليقل: يا فلان ابن فلانة, فإنه يسمعه ولا يجيب, ثم يقول: يا فلان ابن فلانة , فإنه يستوي قاعدا: ثم يقول: يا فلان ابن فلانة , فإنه يقول : أرشدنا رحمك الله, ولكن لا تشعرون : فليقل: أذكر ما خرجت عليه من الدنيا شهادة أن لا إله إلا الله و أن محمدا عبده و رسوله ….الحديث

Maksudnya: Sesungguhnya Saidina Abu Umamah al-Bahili radhiyallahu anhu berkata: Jika aku meninggal dunia maka lakukanlah kepadaku sepertimana yang telah disuruh oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam lakukan kepada sesiapa sahaja yang meninggal dunia. Sesungguhnya baginda sallallahu alaihi wasallam bersabda: Jika seseorang di kalangan saudara kamu meninggal dunia jika sudah selesai dikebumikan maka berdirilah seseorang di kepala kuburnya kemudian katakanlah: Wahai fulan bin fulanah, sesungguhnya dia(si mati) itu mendengar tetapi dia tidak boleh menjawab. Kemudian katakanlah: wahai fulan bin fulanah, Maka si mati itu akan bangun dan duduk(di dalam kuburnya). Kemudian katakanlah(kali yang ketiga): Wahai fulan bin fulanah, Maka si mati itu akan menjawab: Berilah petunjuk kepada kami, moga Allah taala merahmatimu. Tetapi kamu semua(yang hadir di dalam majlis talqin itu) tidak akan mendengar sahutan tersebut. Kemudian katakanlah: Sebutlah olehmu dengan Kalimah syahadah yang engkau sebutkan ketika kamu keluar daripada dunia( rohmu terpisah daripada jasadmu )….al-Hadith

Saya cuma ingin menyebutkan hadis ini secara ringkas sebagai dalil bahawa hadis berkenaan talqin wujud dan bukannya tiada asal pengambilan seperti yang didakwa oleh golongan wahabi yang tidak mempelajari tentang perkara ini. Hadis ini diriwayatkan oleh al-Imam Thabari di dalam Mu’jam al-Kabir 8/249 dan al-Imam Haithami di dalam Majma’ al-Zawaid 3/45.

Al-Imam Ibn Taimiyah rahimahullah juga pernah ditanya tentang perkara ini di dalam Fatawa Kubra 3/24-25. Maka beliau menjawab dengan mengatakan bahawa ianya dilakukan oleh sebahagian sahabat baginda sallallahu alaihi wasallam seperti Saidina Abu Umamah al-Bahili radhiyallahu anhu.Beliau juga mengatakan bahawa al-Imam Ahmad radhiyallahu anhu mengatakan bahawa ianya tidak ada masalah untuk dilakukan.

Walaupun hadis ini dhoif , tetapi jika kita belajar kaedah yang disebutkan oleh para ulama Hadis, maka kita ketahui bahawa hadis dhoif tiada masalah untuk diamalkan di dalam perkara Fadhilat. Malah hadis berkenaan talqin ini menurut al-Imam Nawawi radhiyallahu anhu dikuatkan dengan hadis sahih yang lain seperti wasiat daripada saidina Amru bin al-ash radhiyallahuanhu di dalam Sahih Bukhari dan Muslim.Ini jelas disebutkan oleh al-Imam Nawawi radhiyallahuanhu di dalam kitab Majmu Syarah Muhazzab jilid 5 mukasurat 273-275.Ini seperti yang ambil daripada kitab al-Allamah Syeikh Ali Jum’ah, Mufti Besar Kerajaan Mesir.

Hujah yang disebutkan oleh saya di sini dengan dikuatkan dengan kalam para ulama, sudah mencukupi bagi memahamkan orang-orang yang mahu mencari kebenaran. Tetapi golongan yang keras hati dan tidak mahu meneri kebenaran maka jika diberikan seribu dalil sekalipun maka mereka tetap tidak akan menerimanya. Maka sama-sama kita fikirkan dan renungkan sebaiknya.

Rujukan:
1. Al-Bayan oleh Syeikh al-Allamah Dr Ali Jum’ah al-Syafie, Mufti Besar Mesir
2. Al-Mausu’ah al-Yusufiyah oleh al-Ustaz Doktor Yusuf Khattar Muhammad
3. Al-Wadhih fi al-Balaghah oleh Syeikh Muhammad Zarqhan Farakh

Ustaz Mohd Nazrul Abdul Nasir ,

Usuluddin Jurusan Tafsir,
Universiti Al-Azhar As-Syariff.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *