Hak Kebebasan Bersuara Menurut Islam

Antara barang yang cepat Sold Out dan berebut rakyat marhaen beli Lihat Sini
Kebebasan Bersuara
Manusia adalah makhluk yang diciptakan Allah taala dengan pelbagai keistimewaan bahkan manusia adalah sebaik-baik kejadian…..

sebagaimana firman Allah taala :
لَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ فِىٓ أَحۡسَنِ تَقۡوِيمٍ۬
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia sebaik-baik kejadian”. (Surah al-Tin : 4)

Sebab itulah Allah taala melantik manusia sebagai khalifah untuk mentadbir dunia setelah mana semua makhluk-makhluk lain seperti langit, bumi, gunung-ganang dan lain-lain menolak daripada menerima amanah tersebut.

Oleh demikian, Allah taala telah memberikan kepada manusia beberapa ciri asas yang mampu menjadi kekuatan kepada manusia untuk menjadi pemimpin dunia sesuai dengan manhaj yang dikehendaki oleh Allah taala. Antaranya diberikan makhluk “kebebasan” untuk berpendapat dan bertindak.

 

MAKSUD KEBEBASAN BERSUARA

Kebebasan disisi kacamata ulama Islam adalah sebagaimana pandangan Imam al-Jurjani :

“Keluar daripada pengabdian terhadap makhluk dan memutuskan sebarang bentuk ikatan dan kesibukan dengannya”.

Adapun kebebasan disisi kacamata Barat adalah sebagaimana teori falsafah barat“Semangat Nihilisme” iaitu :

“Kepercayaan yang menolak sebarang nilai dan pegangan yang sedia ada (seperti kepercayan keagamaan)”.

Ia menggambarkan manusia sebagai “makhluk yang bebas untuk hidup bergerak, tidak dibelenggu dengan sebarang kerisauan dan tidak memandang kepada kehancuran sesuatu nilai dan akhlak”.

Oleh itu, kebebasan bersuara dan berpendapat adalah anugerah daripada Allah taala yang perlu digunakan selari dengan ajaran Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. yang mengikut tatertib dan adab-adab Islam. Maka, prinsip kebebasan bersuara ditinggalkan dengan harapan untuk membentuk karekter intelektual masyarakat selari dengan kehendak agama.

Bukan sebagaimana Barat yang yang mendoktrin minda masyarakat bahawa kebebasan bersuara dan berpendapat adalah mutlak dan menafikan nilai akhlak serta kebenaran.

 

HAK KEBEBASAN BERSUARA DI BARAT

Hak kebebasan bersuara adalah menonjolkan bagaimana setiap manusia yang dikurniakan akal yang rasional untuk mencari natijah yang terbaik dalam kehidupan mereka dalam semua aspek.

Oleh itu, kebebasan bersuara adalah kebebasan memberikan pendapat, pandangan, tindakan mencari tanpa mengira medium yang digunakan.

Selepas Perang Dunia Kedua, Kongers Amerika pada 1 Januari 1941 mengisytiharkan terdapat empat hak kebebasan utama di setiap negara-negara dunia : [1]

1. Kebebasan berpendapat
2. Kebebasan beragama dan beribadah
3. Kebebasan daripada terikat dengan sesuatu kanun tanpa merasa takut
4. Kebebasan untuk melaksakan sesuatu matlamat dan tujuan

Hak kebebasan bersuara adalah hak asasi manusia sebagaimana didapati dalam Perkara 19 (Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat) dan diiktiraf undang-undang antarabangsa dalam Perjanjian Antarabangsa tentang Hak-hak Sivil dan Politikal (ICCPR).

Andai dirujuk kembali dalam Perundangan Perancis selepas berlakunya Revolusi Perancis secara besar-besaran pada 1789 Masihi lalu, kita akan dapati dalam dokumen hak asasi manusia ketika itu juga ada dinyatakan “Hak Kebebasan Bersuara”.

Semuanya itu adala daripada kefahaman salah yang di asaskan oleh golongan-golongan yang berfahaman Sekular, Liberal dan Demokrat bagi memberi ruang seluas-luasnya untuk menyatakan suara dan pendapat mereka.

Maka kebebasan bersuara dikalangan masyarakat Barat merujuk kepada :

1. Kebebasan bersuara secara mutlak
2. Tidak berpandukan kepada nilai dan akhlak
3. Suara majoriti adalah benar walaupun tidak selari dengan kehendak agama
4. Tujuan menghalalkan cara

 

CONTOH HAK KEBEBASAN BERSUARA ZAMAN NABI DAN PARA KHULAFA’ RASYIDIN

1. Pada peperangan Badar al-Kubra, ketika kali pertama pertemuan antara muslimin bertemu dengan golongan kafir, Rasulullah s.a.w. telah mencadangkan melalui pendapatnya untuk memilih kawasan perang yang strategik.

Lalu salah seorang sahabat baginda, Hubbab bin Munzir bertanya kepada baginda s.a.w. adakah ianya daripada wahyu ataupun pendapat baginda Nabi s.a.w. Lalu Nabi mengkhabarkan ianya daripada pandangannya.

Lantas Hubbab bin Munzir mencadangkan tempat yang lebih sesuai yang lebih besar manfaatnya kepada umat Islam. Lalu Rasulullah s.a.w. mengambil pendapat tersebut yang lebih memberikan keuntungan dan kelebihan .

Ini menunjukkan tentang pengiktirafan Rasulullah s.a.w. tentang kebebasan bersuara dan berpendapat sebagaiamana perbincangan dan perbualan antara Rasulullah s.a.w. bersama dengan para sahabatnya.

2. Sebelum peperangan Uhud, Nabi dan para sahabat bermesyuarat dan keputusannya untuk kekal berada di Madinah supaya boleh mereka melancarkan anak panah oleh kaum lelaki yang berada di atas bumbung-bumbung rumah.

Tetapi Nabi s.a.w. mengambil pandangan daripada salah seorang pemuda yang merancang untuk keluar menuju kepada pihak musuh, sehinggalah tidak seorang pun dikalangan para sahabat ketika itu mengatakan :
إنهم حبسوا المسلمين في ديارهم
3. Pada peperangan Ahzab, Salman al-Farisi mencadangkan untuk menggali parit sebagaimana diambil daripada taktik dan strategi perang di Parsi. Lalu Nabi s.a.w. menerima pandangan tersebut dengan mengalikan lubang dan parit di sekitar Madinah iaitu dikawasan Khandak.

4. Pada peperangan Bani Quraizah, ketika mana Rasulullah s.a.w. berkata dalam peperangan Ahzab
لا يصلين أحد العصر إلا في بني قريظة
Tapi ada juga dikalangan sahabat Nabi yang solat dipertengahan jalan sebelum sampai di kawasan Bani Quraizah, dan ada yang teruskan perjalanan sehingga sampai di kawasan tersebut barulah solat.

Apabila diceritakan kepada Rasulullah s.a.w. maka baginda tidak memarahi para sahabatnya walaupun seorang kerana baginda megiktiraf sesuatu pandangan dikalangan para sahabatnya sekiranya perkara tersebut dalam kategori furu’ (cabang agama).

5. Pada awal perlantikan Sayyidina Abu Bakar sebagai khalifah Islam pertama, beliau berkhutbah kepada seluruh umat Islam : [2]

“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku dilantik dikalangan kamu dan aku bukanlah yang terbaik. Maka sekiranya aku melakukan sesuatu kebaikan maka bantulah aku dan sekiranya aku tersilap maka betulkan aku”.

6. Zaman pemerintahan Sayyidina Umar al-Khattab, ada seorang lelaki pernah menegurnya :“Bertakwalah kamu wahai Umar!”. Maka berkatalah pegawai-pegawainya : “Mengapa kamu berkata sedemikian kepada Amirul Mukminin dengan perkataan sedemikian?”. Lalu Sayyidina Umar pun menjawab :

“Kamu tidak mendapat sebarang kebaikan sekiranya kamu tidak berkata sedemikian kepadaku manakala aku juga tidak mendapat sebarang kebaikan sekiranya aku tidak mendengar akan perkataan tersebut”.

7. Pada pemerintahan Sayyidina Uthman, beliau menulis kepada setiap Gabenor dan Ketua Kementerian Dalam Negeri ktika itu dengan diarahkan untuk menerima sebarang cadangan dan suara daripada semua lapisan rakyat serta menunaikan setiap kehendak dan keperluan rakyat sesuai dengan kemampuan yang ada.

8. Ketika pemerintahan Sayyidina Ali bin Abi Thalib, berlakunya peristiwa tahkim yang menyebabkan ada segolongan daripada umat Islam yang keluar daripada bersama-sama dengan keputusan Amirul Mukminin yang dikenali dengan kelompok ‘Khawarij”.

Maka Sayyidina Ali meletakkan beberapa kebebasan kepada mereka. Antaranya tidak ditegah untuk solat di masjid bersama-sama umat Islam yang lain, tidak boleh memerangi merekaskiranya mereka tidak memerangi kita secara terangan dan tidak ditegah mereka untuk mengambil bahagian daripada harta rampasan perang.

 

DISIPLIN DAN SYARAT ASAS KEBEBASAN BERSUARA DISISI ISLAM

Disisi Islam, ada beberapa disiplin dan syarat dalam menyatakan hak mereka untuk bersuara dan berpendapat. Ini kerana, jika tidak mengikut disiplin dan syarat-syaratnya maka samalah kebebasan bersuara tersebut sebagaiamana yang dipelopori oleh golongan-golongan Sekular dan Liberal di Barat sebagaimana kaedah disisi Machiavelli :

الغاية تبرر الوسيلة القذرة
“Tujuan membenar (menghalalkan) cara yang kotor”.[3]

Sebab itulah Islam meletakkan beberapa guideline asas sebagai penjagaan kepada hak kebebasan bersuara tadi agar sesuai dengan apa yang dikehendaki oleh Allah taala. Antara pra-syarat asas adalah[4] :

1. BERTUJUAN UNTUK MENEGAKKAN KEBENARAN DAN KEADILAN

Firman Allah taala :
إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَـٰنَـٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِ‌ۚ
“Sesungguhnya Allah menyuruhmu untuk menyampaikan amanah kepada mereka yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menetapkan hukum diantara manusia hendaklah dengan keadilan”. (Surah al-Nisa’ : 58)

Firman Allah taala :
وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٌ۬ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ‌ۚ
وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ
“Dan hendaklah diantara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (membuat) yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan itulah mereka yang beruntung”. (Surah Ali Imran : 104)

2. MENOLAK KEZALIMAN DAN KEFASADAN

Firman Allah taala :
وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٲنِ‌ۚ
“Janganlah kamu bertolong-tolong melakukan kejahatan dan permusuhan”. (Surah al-Maidah : 2)

Hadis Nabi s.a.w :
أفضل الجهاد كلمة الحق عند سلطان الجائر
“Jihad yang paling afdhal adalah perkataan yang benar disisi pemerintah yang zalim”.(Hadis Riwayat Bukhari)

3. TIDAK MEMAKSA DAN MENEKAN UNTUK MENERIMA SESUATU PANDANGAN

Firman Allah taala :
أَفَأَنتَ تُكۡرِهُ ٱلنَّاسَ حَتَّىٰ يَكُونُواْ مُؤۡمِنِينَ
“Adakah kamu ingin memaksa manusia sehingga mereka menjadi orang yang beriman?”.(Surah Yunus : 99)

Firman Allah taala :
وَقُلِ ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكُمۡ‌ۖ فَمَن شَآءَ فَلۡيُؤۡمِن وَمَن شَآءَ فَلۡيَكۡفُرۡ‌ۚ
“Dan katakanlah : Kebenaran itu daripada Tuhanmu, sesiapa yang ingin beriman maka hendaklah dia beriman, dan sesiapa yang ingin kafir biarla dia kafir”. (Surah al-Kahfi : 29)

4. MENGHORMATI DAN MEMULIAKAN HAK-HAK INDIVIDU LAIN

Firman Allah taala :
وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِىٓ ءَادَمَ وَحَمَلۡنَـٰهُمۡ فِى ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ وَرَزَقۡنَـٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَـٰتِ وَفَضَّلۡنَـٰهُمۡ عَلَىٰ ڪَثِيرٍ۬ مِّمَّنۡ خَلَقۡنَا تَفۡضِيلاً۬
“Dan sesungguh Kami telah memuliakan anak cucu Adam dan Kami angkut mereka di darat dan di laut, dan Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka diatas banyak makhluk yang Kami ciptakan dengan kelebihan yang sempurna”. (Surah al-Isra’ : 70)

5. MENJAGA ELEMEN DAN PERKARA ASAS SEBUAH KOMUNITI MASYARAKAT DARIPADA KEHANCURAN

Firman Allah taala :
ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِى ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِى ٱلنَّاسِ
“Sesungguhnya terzahirnya kefasadan (kerosakan) di daratan dan lautan disebabkan tangan-tangan (kotor) manusia”. (Surah al-Rum : 41)

6. Membawa kepentingan dan faedah kepada masyarakat umum

Firman Allah :
وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡہِم بَرَكَـٰتٍ۬ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ
“Sekiranya rakyat sesuatu negeri itu beriman dan bertaqwa kepada Allah maka Kami akan bukakan ke atas mereka berkat (bertambahnya kebaikan) daripada langit dan bumi”. (Surah al-A’raf : 96)

 

 

HIKMAH DAN RAHSIA DISEBALIK HAK KEBEBASAN BERSUARA

1. MENJAMIN HAK KEMANUSIAAN DAN MEMULIAKANNYA DENGAN SEBAIK-BAIK KEJADIAN

Manusia semuanya dicipta Allah taala sebagai hamba yang paling sempurna dan sebaik-baik kejadian antara makhluk-makluk yang lain.

Firman Allah taala :
لَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ فِىٓ أَحۡسَنِ تَقۡوِيمٍ۬

“Sesungguhnya Kami (Allah) telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian”.(Surah al-Tin : 4)

Bahkan kesempurnaan manusia tersebut diceritakan oleh Allah taala dalam al-Quran melalui beberapa tahap dan proses yang teliti.

Firman Allah taala :
وَلَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ مِن سُلَـٰلَةٍ۬ مِّن طِينٍ۬. ثُمَّ جَعَلۡنَـٰهُ نُطۡفَةً۬ فِى قَرَارٍ۬ مَّكِينٍ۬. ثُمَّ خَلَقۡنَا ٱلنُّطۡفَةَ عَلَقَةً۬ فَخَلَقۡنَا ٱلۡعَلَقَةَ مُضۡغَةً۬ فَخَلَقۡنَا ٱلۡمُضۡغَةَ عِظَـٰمً۬ا فَكَسَوۡنَا ٱلۡعِظَـٰمَ لَحۡمً۬ا ثُمَّ أَنشَأۡنَـٰهُ خَلۡقًا ءَاخَرَ‌ۚ فَتَبَارَكَ ٱللَّهُ أَحۡسَنُ ٱلۡخَـٰلِقِينَ
“Dan sungguh Kami (Allah) menciptakan manusia daripada saripati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami menjadikannya air mani (yang disimpan) dalam satu tempat yang kukuh (rahim wanita). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami selaputinya dengan daging. Kemudian kami menjadikannya makhluk yang (berbentuk) lain. Maha Suci Allah, Pencipta yang paling baik”. (Surah al-Mukminun : 13-14)

Bahkan dalam ayat yang lain, Allah taala menyatakan secara jelas tentang kemuliaan manusia yang telah dijadikan untuk memakmurkan bumi.

Firman Allah taalah :
وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِىٓ ءَادَمَ وَحَمَلۡنَـٰهُمۡ فِى ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ وَرَزَقۡنَـٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَـٰتِ
وَفَضَّلۡنَـٰهُمۡ عَلَىٰ ڪَثِيرٍ۬ مِّمَّنۡ خَلَقۡنَا تَفۡضِيلاً۬
“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak cucu Adam, dan kami telah menanggung keadaan mereka samada di darat dan di laut, dan Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka di atas makhluk-makhluk lain yang Kami ciptakan dengan pelbagai kelebihan yang sempurna”. (Surah al-Isra’ : 70)

2. MENEKANKAN MAKSUD SEBENAR NALURI KEINSANAN DAN PERASAAN INDIVIDU

Sesungguhnya Allah menciptakan manusia lantas memberi penghormatan kepada mereka untuk melunaskan kehendak naluri, perasaan, kehendak dan hati kecil mereka dengan memberikn mereka beberapa manual asas (al-Quran dan al-Sunnah) sebagai inisiatif untuk menunjuk jalan antara kebaikan dan keburukan.

Firman Allah taala :
أَلَمۡ نَجۡعَل لَّهُ ۥ عَيۡنَيۡنِ. وَلِسَانً۬ا وَشَفَتَيۡنِ . وَهَدَيۡنَـٰهُ ٱلنَّجۡدَيۡنِ
“Bukankah Kami (Allah) telah menjadikan untuknya sepasang mata. Dan lidah serta sepasang bibir. Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan (kebaikan dan keburukan)”. (Surah al-Balad : 8-10)

Firman Allah taala lagi dalam menyatakan hak kebebasan bertindak atas kemahuan manusia :
فَمَن يَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٍ خَيۡرً۬ا يَرَهُ ۥ. وَمَن يَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٍ۬ شَرًّ۬ا يَرَهُ ۥ
“Maka sesiapa yang melakukan amal kebaikan (walaupun) sebesar zarrah maka dia akan melihat (balasannya). Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan (walaupun) sebesar zarrah nescaya dia akan melihat (balasan)nya”. (Surah al-Zalzalah : 7-8)

Oleh kerana itu, manusia diberi peluang dan hak kebebasan berfikir, berpendapat dan meneliti akan sesuatu perkara yang perlu dilaksanakannya lalu diberi peluang untuk memilih apa yang difikirkan baik untuk kemaslahatan (keperluan) dalam kehidupan mereka.

Islam sentiasa meraikan tabiat kemanusiaan dan tidak pernah menolak fitrah kemanusiaan.

3. AKAL SEBAGAI ALAT DAN PEMANDU KEPADA SESUATU PENDAPAT

Sebagaimana Allah taala telah menurunkan nas-nas al-Quran sebagai masdar (panduan) kepada manusia, maka begitulah juga Dia telah mencipakan akal berfikir kepada setiap individu manusia bagi membongkar dan menjelaskan isi kandungan nas-nas tadi sebagai petunjuk jalan kepada mereka mana yang baik dan buruk.

Sebab itulah mengikut manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah :

الحسنة ما حسنه الشرع بوسيلة العقل والقبيح ما قبحه الشرع بوسيلة العقل

“Apa yang baik adalah apa yang ditentukan baik oleh syara’ melalui kefahaman akal manakala apa yang buruk adalah apa yang ditentukan jahat oleh syara’ melalui kefahaman akal”.[5]

Bahkan banyak daripada saranan Allah taala untuk menjadikan akal sebagai cara untuk mengambil dalil dan petunjuk sebagai jalan memahami sesuatu pensyariatan dan memahami sesuatu penciptaan-Nya. Tapi bukanlah mendahulukan akal lebih daripada nas-nas syara’.

Promosi hanya RM1 sahaja grab now !!

Firman Allah taala :
أَفَلَا يَنظُرُونَ إِلَى ٱلۡإِبِلِ ڪَيۡفَ خُلِقَتۡ. وَإِلَى ٱلسَّمَآءِ ڪَيۡفَ رُفِعَتۡ.
وَإِلَى ٱلۡجِبَالِ كَيۡفَ نُصِبَتۡ. وَإِلَى ٱلۡأَرۡضِ كَيۡفَ سُطِحَتۡ
“Maka mengapakah tidak mereka memerhatikan (menggunakan akal) pada kejadian unta bagaimanakah ia diciptakan? Dan angi bagaimakah ia ditinggikan? Dan gunung-ganang bagaimanakah ia dipasakkan? Dan bumi bagaimanakah ia dihamparkan?”. (Surah al-Ghasyiah : 17-20)

Bahkan tidak ada satu pun nas-nas syara’ (wahyu) yang bertentangan dengan konsep akal manusia untuk berfikir dan berpendapat kerana itulah anugerah Allah taala kepada hamba-Nya melalui pensyariatan yang mampu diselarikan dengan akal[6]. Bahkan akal secara rasional akan menyatakan bahawa mana-mana sahaja individu tidak akan redha melainkan mendapat sesuatu kebaikan dan pahala syurga sebagai kenikmatan untuk diri mereka.

Inilah maksud dan tujuan حفظ العقل penjagaan akal daripada dirosakkan melalui perkara-perkara memabukkan yang boleh menghilangkan fungsi akal dan kerasionalan padanya.

Mana mungkin pahala dianugerahkan kepada orang yang beriman dan dosa akan diberikan kepada orang yang kufur sekiranya disana tidak ada hak kebebasan memilih yang dilakukan manusia berdasarkan peluang yang diberi dengan menggunakan fungsi akal mereka.

4. MELUNASKAN MAKSUD KEADILAN KETUHANAN TERHADAP MANUSIA

Hanya bagi Allah taala keadilan yang sebenar dan yang paling sempurna kerana “Adil” antara Nama-nama Nya yang maha Mulia. Dengan sifat keadilan pada Allah maka Dia tidak menciptakan manusia dengan menzalimi mereka dalam apa jua keadaan.

Firman Allah taala :
وَلَا يَظۡلِمُ رَبُّكَ أَحَدً۬ا
“Dan Tuhanmu tidak menzalimi seseorang pun”. (Surah al-Kahfi : 49)

Namun, manusia itu yang menzalimi diri mereka sendiri dengan tidak menjadikan panduan dan kasih sayang Allah yang telah dianugerahkan kepada mereka sebagai panduan dalam melayari kehidupan mereka di dunia.

Firman Allah taala :
إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَظۡلِمُ ٱلنَّاسَ شَيۡـًٔ۬ا وَلَـٰكِنَّ ٱلنَّاسَ أَنفُسَہُمۡ يَظۡلِمُونَ
“Sesungguhnya Allah tidak menzalimi manusia sedikit pun, tetapi manusia itulah yang menzalimi dirinya sendiri”. (Surah Yunus : 44)

Bahkan keadilan Tuhan tersebut disusuli lagi dengan kurniaan pahala dan syurga kepada manusia yang mampu mengaplikasikan hak kebebasan berpendapat, memilih, bertindak dan lain-lain dengan baik dan sempurna. Itulah keadilan Tuhan yang tiada sempadan dan pengakhiran.

Firman Allah taala :
إنَّ ٱللَّهَ لَا يَظۡلِمُ مِثۡقَالَ ذَرَّةٍ۬‌ۖ وَإِن تَكُ حَسَنَةً۬ يُضَـٰعِفۡهَا وَيُؤۡتِ مِن لَّدُنۡهُ أَجۡرًا عَظِيمً۬ا
“Dan jika ada kebaikan (yang dilakukan walau sebesar zarrah) nescaya Allah akan melipat-gandakannya dan memberikannya pahala yang besar (kepada mereka) dari sisi-Nya”.(Surah al-Nisa’: 40)

5. PROSES TAPISAN DAN UJIAN TERHADAP MANUSIA

Ujian merupakan antara tujuan umum penciptaan Allah taala terhadap penciptaan manusia.
Firman Allah taala :
وَهُوَ ٱلَّذِى جَعَلَڪُمۡ خَلَـٰٓٮِٕفَ ٱلۡأَرۡضِ وَرَفَعَ بَعۡضَكُمۡ فَوۡقَ بَعۡضٍ۬ دَرَجَـٰتٍ۬ لِّيَبۡلُوَكُمۡ فِى مَآ ءَاتَٮٰكُمۡ‌ۗ إِنَّ رَبَّكَ سَرِيعُ ٱلۡعِقَابِ وَإِنَّهُ ۥ لَغَفُورٌ۬ رَّحِيمُۢ
“Dan Dialah (Allah) yang telah menjadikan kamu sebagai khalifah-khalifah di muka bumi dan Dia mengangkat (darajat) sebahagian daripada kamu di atas yang lain, untuk mengujimu atas (kurnia) yang telah diberikan-Nya kepada kamu”. (Surah al-An’aam : 165)

Antara ujian Allah taala kepada seseorang individu manusia adalah dijadikan mereka dua jalan : “kebaikan” dan “kejahatan” lalu diberikan hak kebebasan untuk memilih dan berpendapat antara salah satu daripada dua jalan tersebut samada mereka ingin bersyukur atas nikmat tersebut ataupun kufur.

Firman Allah taala :
إِنَّا هَدَيۡنَـٰهُ ٱلسَّبِيلَ إِمَّا شَاكِرً۬ا وَإِمَّا كَفُورًا
“Sesungguhnya Kami (Allah) telah menunjukkannya jalan yang lurus, ada yang bersyukur dan aada pula yang kufur”. (Surah al-Insan : 3)

Maka sesiapa yang melepasi proses ujian tersebut maka mereka telah berjaya menyucikan dirinya dan sebaliknya bagi mereka yang gagal daripada tanggungjawab yang perlu mereka berhadapan antara iltizam dengan ketaatan ataupun gugur dalam kemaksiatan.

Firman Allah taala :
قَدۡ أَفۡلَحَ مَن زَكَّٮٰهَا. وَقَدۡ خَابَ مَن دَسَّٮٰهَا
“Sungguh beruntunglah orang yang menyucikannya (jiwa itu) dan sungguh rugi orang yang mengotorinya”. (Surah al-Syams : 9-10)

6. MENJAGA KEAMANAN BERMASYARAKAT DAN KESELAMATANNYA

Hak kebebasan berpendapat sebenarnya memberi gambaran bahawa manusia diberi peluang untuk tidak memberontak terhadap apa yang diyakini tanpa disekat keinginan pilihan mereka. Begitulah juga masyarakat dilindungi dengan pensyariatan Hudud dalam Islam sebagai langkah mencegah daripada unsur-unsur murtad dalam agama yang akan megancam keamanan sesebuah komuniti masyarakat.

Ini kerana antara hikmah pensyariatan hudud terhadap isu murtad dalam Islam. Ia sebenarnya sebagai pencegahan daripada berlakunya penentangan dan serangan yang akan mengganggu-gugat keamanan dan kesejahteraan bermasyarakat.

Bahkan mereka akan diberi peluang untuk bertaubat dan kembali kepada kebenaran terhadap sesuatu syak serta keraguan yang mereka hadapi. Ianya melalui proses penjernihan dan pemutihan kembali pemikiran daripada ideologi dan pemahaman yang salah sehinggalah mereka jelas dan nyata kesilapan tersebut sebelum ianya mengancam keamanan bermasyarakat.

Sebab itulah Allah taala melarang daripada kita melampaui pensyariatan hudud kerana itulah kebijaksanaan Allah taala yang telah menunjukkan kepada kita cara untuk islah dan memperbaiki individu serta komuniti masyarakat daripada berlakunya kerosakan yang lebih teruk.

Firman Allah taala :
وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ ٱللَّهِ فَقَدۡ ظَلَمَ نَفۡسَهُ
“Maka sesiapa yang melampaui daripada hudud Allah maka sesungguhnya mereka telah menzalimi diri mereka sendiri”. (Surah al-Talaq : 1)

Tidak hanya memadai dengan itu, bahkan Allah taala menyuruh agar kita sentiasa mewujudkan perbincangan dan perdebatan secara diplomasi antara agama-agama yang lain dengan mengemukakan hujjah dan berbincang untuk mewujudkan kefahaman yang boleh menjaga keamanan bermasyarakat walaupun berbeza dari aspek kepercayaan beragama.

Firman Allah taala :
وَلَا تُجَـٰدِلُوٓاْ أَهۡلَ ٱلۡڪِتَـٰبِ إِلَّا بِٱلَّتِى هِىَ أَحۡسَنُ
“Dan janganlah kamu berdebat dengan ahli kitab melainkan dengan perkataan yang baik”.(Surah al-‘Ankabut : 46)

7. KETELUSAN DAN TOLERANSI AGAMA ISLAM

Sesungguhnya, pensyariatan Islam dalam apa-apa medan sekalipun menunjukkan kepada pembinaan kepada sebuah struktur jatidiri seseorang individu dan meraikan keinsanannya walaupun mereka itu daripada kalangan musuh-musuh Islam. Kerana Islam mengajar umatnya untuk beriman kepada semua para Nabi yang lain sebagaimana juga kita beriman dengan Nabi Muhammad s.a.w.

Firman Allah taala :
وَإِنۡ أَحَدٌ۬ مِّنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ ٱسۡتَجَارَكَ فَأَجِرۡهُ حَتَّىٰ يَسۡمَعَ كَلَـٰمَ ٱللَّهِ ثُمَّ أَبۡلِغۡهُ مَأۡمَنَهُ ۥ‌ۚ
ذَٲلِكَ بِأَنَّہُمۡ قَوۡمٌ۬ لَّا يَعۡلَمُونَ
“Dan jika dikalangan kaum musyrikin ada yang meminta pertolongan kepadamu, maka lindungilah agar dia dapat mendengar firman Allah, kemudian hantarkanlah dia ke tempat yang aman baginya. Itu kerana sesungguhnya mereka kaum yang tidak mengetahui”.(Surah al-Taubah : 6)

Bahkan, antara wasiat yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. juga ada menerangkan adab-adab dalam peperangan supaya jangan membunuh orang tua, kanak-kanak, wanita, hamba-hamba dan rumah ibadat supaya tersebarnya Islam sebagai pembawa keamanan dalam kehidupan.

Firman Alla taala :
ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَـٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُ‌ۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَہُم بِبَعۡضٍ۬ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٲمِعُ وَبِيَعٌ۬ وَصَلَوَٲتٌ۬ وَمَسَـٰجِدُ
“Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebhagian yang lain, tentu telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadah orang Yahudi dan masjid-masjid”. (Surah al-Hajj : 40)

Maka dengan cara inilah kita menonjolkan Islam sebagai agama yang membawa toleransi dan menghormati agama-agama yang lain bagi mewujudkan suasana yang harmoni. Bahkan, inilah akhlak dan adab yang perlu ditonjolkan sebagai manifestasi tentang hakikat sebenar agama Islam.

8. MENOLAK KONSEP BERTAKLID DAN JUMUD DALAM BERSUARA

Islam tidak mengajar umatnya untuk bertaklid dalam perbendapat. Bahkan ianya merupakan satu kewajipan fadhu ain yang dibebankan kepada setiap individu samada mujtahid atau tidak untuk mereka mempunyai hujjah dan dalil terhadap apa yang mereka yakini. Bukan kerana mengikut-mengikut atau berpegang dengan pendapat orang lain tanpa mempunyai hujjah yang kukuh.

Apa yang dimaksudkan dengan taklid adalah :
الأخذ بقول الغير بدون أن يعرف دليله
“Mengambil kata-kata daripada seseorang tanpa mengetahui akan dalil kebenarannya”[7]

Kita dilarang daripada bertaklid dalam berpendapat terhadap Islam sebagaimana kelompok Jahiliyyah terdahulu.

Firman Allah taala :
بَلۡ قَالُوٓاْ إِنَّا وَجَدۡنَآ ءَابَآءَنَا عَلَىٰٓ أُمَّةٍ۬ وَإِنَّا عَلَىٰٓ ءَاثَـٰرِهِم مُّهۡتَدُونَ
“Bahkan mereka berkata : Sesungguhnya Kami mendapati nenek moyang kami menganut sesuatu agama, dan kami mendapat petunjuk untuk mengikuti petunjuk mereka”. (Surah al-Zukhruf : 22)

Oleh kerana itu, Islam telah memberi hak kebebasan bersuara dan berpendapat kepada setiap manusia untuk memilih agama dan kepercayaan yang mereka yakini kebenarannya tanpa terikut dengan sesiapa. Ini kerana manusia telah dikurniakan fitrah supaya tidak dikongkong dan dipaksa terhadap apa yang mereka percayai.

Sekiranya seseorang individu bertaklid dalam persoalan akidah dan beragama, maka ada beberapa perkara yang serius perlu diperhatikan sebagaimana yang disebut oleh Dr. Taha Abdul Ra’uff Sa’ad[8] iaitu :

1. Kepercayaan dan keyakinannya kepada Tuhan tidak sempurna.

2. Mengabaikan anugerah akal yang dikurniakan yang menjadi wasilah dan sebab kepada tujuan untuk menyampaikannya kepada kebenaran dan menjauhkannya daripada kebatilan.

3. Mudah diancam melalui doktrin-doktrin pemikiran daripada golongan Oreantalis dan Kristianisasi bagi menggugurkan keimanan umat Islam terhadap Tuhannya.

Akan tetapi, dalam persoalan fiqh dan furu’ masalah dalam agama, Islam membenarkan bertaklid kepada sesiapa sahaja samada terdiri dikalangan mereka yang ahli ijtihad(mujtahid) ataupun masyarakat awam biasa. Namun dalam masa yang sama, perkara-perkara tersebut tidaklah dilarang untuk kita mengeluarkan pandangan dan pendapat asalkan tujuannya untuk mencari kebenaran.

9. TEGURAN DARIPADA PERATURAN KETUHANAN (SUNNATULLAH)

Allah taala telah menetapkan peraturan-peraturannya (sunnatullah) secara jelas setelah mana Dia menjadikan langit dan bumi serta isinya. Antara sunnatullah yang telah ditetapkannya seperti mempertahankan survival manusia sebagai khalifah dipermukaan bumi.

Namun dalam masa yang sama Allah taala menjadikan manusia ini berbeza dan mempunyai kepelbagaian antara satu sama lain samada dari sudut bangsa, tutur kata, warna kulit, adat budaya, kefahaman, akhlak, pegangan dan lain-lain. Sedangkan boleh sahaja andainya Dia ingin menjadikan manusia ini sebagai umat yang satu dan sama.

Firman Allah taala :
وَلَوۡ شَآءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ ٱلنَّاسَ أُمَّةً۬ وَٲحِدَةً۬‌ۖ وَلَا يَزَالُونَ مُخۡتَلِفِينَ .
إِلَّا مَن رَّحِمَ رَبُّكَ‌ۚ وَلِذَٲلِكَ خَلَقَهُمۡ‌ۗ
“Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentu Dia jadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih (pendapat). Kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka”. (Surah Hud : 118-119)

Dengan itu, Allah taala telah memberi hak kebebasan bersuara dan berpendapat kepada manusia untuk membuat pilihan terhadap apa yang selari dengan sunnatullah ini berdasarkan apa yang mereka yakini supaya mereka dapat bersatu dan mengumpulkan kekuatan untuk membentuk satu ummah yang agung.

Walaupun mempunyai pelbagai keplbagaian antara satu dengan yang lain tetapi itulah hakikat kesempurnaan sunnatullah iaitu supaya manusia dapat bersatu diatas kelebihan antara satu sama lain.

Hak kebebasan bersuara dan berpendapat ini sesuai dengan sabda Nabi s.a.w. :

أنتم أعلم بأمر دنياكم
“Kamu lebih mengetahui sesuatu urusan keduniaanmu”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

10. MENOLAK DAKWAAN BAHAWA ISLAM ADALAH AGAMA TEOKRASI

Ketika Zaman Kegelapan Eropah[9] dahulu (395 – 1453 Masihi selepas jatuhnya Emperor Rom sehinggalah berakhirnya dengan kejatuhan Konstantinople ditangan Sultan Muhammad al-Fateh), para agamawan dan paderi-paderi Kristian ketika itu menguasai dunia keseluruhannya. Mereka menutup segala bentuk kebebasan dan hak-hak rakyat dan undang-undang berada dibawah kuasa mereka secara mutlak. Inilah yang dikenali dengan pemerintahan “Teokrasi”.

Mereka dikenali dengan رجال الدين dengan mempergunakan agama untuk mencari kepentingan diri dan dunia. Mereka menjadikan agama sebagai benteng untuk mencipta titledisisi masyarakat sebagai manusia yang maksum dan lantas pendapat dan pandangan kepada mereka tidak boleh disangkal dan dicanggahi.

Masyarakat ketika itu terpecah kepada tiga :

i. Kelompok Elit : dikalangan paderi-paderi Kristian dan pemerintah-pemerintah zalim
ii. Rakyat biasa : dikalangan pegawai kerajaan
iii. Buruh dan petani : dikalangan orang miskin dan hamba kepada kerajaan

Namun Islam amat berbeza dengan apa yang berlaku ketiga zaman Pertengahan di Eropah dulu kala. Islam membawa risalah agung yang memberikan hak kebebasan kepada para pengikutnya mengikut asas-asas pensyariatan iaitu untuk memperhambakan diri kepada Allah bukan kepada sesama makhluk.

Maka sesuatu pandangan dan suara rakyat perlu didengari oleh pemimpin untuk bersama-sama memenuhi keperluan dan membina ketamadunan atas dasar kebaikan dan kebajikan bersama tanpa dibezakan antara satu sama lain.

Firman Allah taala :
وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰ‌ۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٲنِ‌ۚ
“Bertolong-tolonglah kamu dalam kebajikan dan taqwa dan janganlah kamu bertolong-tolong dalam kejahatan dan permusuhan”. (Surah al-Maidah : 2)

Kebenaran dan ketulusan Islam tentang hak kebebasan bersuara dan berpendapat yang diberikan kepada setiap manusia untuk menolak segala bentuk kebohongan, penipuan, penindasan, kezaliman, rekaan dan dogengan yang dicipta oleh kelompok-kelompok pemerintah. Sebab itu Islam tidak dikenali dengan agama Teokrasi tetapi agama yang membawa kepada toleransi serta solusi.

11. MENEGAKKAN HUJAH KEATAS MANUSIA

Kalau dilihat daripada hikmah Allah taala mengutuskan para Rasul, bersama mereka kitab-kitab dan pensyariatan, lalu Allah taala kurniakan kepada manusia akal fikiran diaplikasi untuk membaca nas-nas pensyariatan, maka semua itu adalah bertujuan untuk mengukuhkan hujah keatas manusia.

Begitulah juga Dia memberikan hak kebebasan bersuara dan berpendapat kepada manusia sebagai hujah untuk manusia menilai mana pegangan dan keyakinan yang terbaik untuk diikuti selari dengan apa yang Allah anugerahkan kepada manusia daripada semua itu.

Bahkan ianya sebagai hujah terhadap manusia sebagai hitungan dan timbangan balasan syurga dan pahala terhadapa apa yang mereka laksanakan.

Firman Allah taala :
وَأَقۡسَمُواْ بِٱللَّهِ جَهۡدَ أَيۡمَـٰنِہِمۡ لَٮِٕن جَآءَهُمۡ نَذِيرٌ۬ لَّيَكُونُنَّ أَهۡدَىٰ مِنۡ إِحۡدَى ٱلۡأُمَمِۖ
فَلَمَّا جَآءَهُمۡ نَذِيرٌ۬ مَّا زَادَهُمۡ إِلَّا نُفُورًا
“Dan mereka bersungguh-sungguh bersumpah dengan Nama Allah bahawa jika datang kepada mereka seseorang pemberi peringatan, nescaya mereka akan lebih mendapat petunjuk dari salah satu daripada umat yang lain”. (Surah Fathir : 42)

Betapa kasih sayang Allah taala kepada hamba-Nya mengatasi daripada makhluk-makhluk yang lain. Allah taala secara jelas menyatakan bahawa penciptaan makhluk-makhluk yang lain adalah untuk berkhidmat kepada manusia.

FIrman Allah taala :
هُوَ ٱلَّذِى خَلَقَ لَكُم مَّا فِى ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعً۬ا
“Dialah (Allah) yang telah menciptakan segala apa yang ada dibumi untukmu (manusia)”.(Surah al-Baqarah : 29)

Maka begitulah juga manusia, kehidupan mereka dan kebebasan yang ada pada mereka bukan hanya untuk kepentingan individualistik tetapi untuk bersama bersama dengan individu lain atas jalan kebenaran dan keadilan.

Wallahu a’lam
“Membentuk Dengan Acuan Al-Azhar”
“Memartabat Keilmuan memimpin Kesatuan”

Disediakan oleh :
Muhammad Zuhairi bin Zainal Abidin
Ketua Badan Pengetahuan dan Penyelidikan PMRAM 20

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *