Islam merupaka agama yang toleransi. Islam sentiasa menggalakkan umatnya agar berkelakuan baik dan berakhlak mulia sesama manusia samada Islam atau non-muslim. Ini kerana Islam merupakan agama yang membawa rahmat kepada seluruh alam dan makhluk-makhlukNya…
Firman Allah taala :
وما أرسلناك إلا رحمة للعالمين
“Dan tidaklah kami utuskan kamu (Wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada seluruh alam”. (Surah al-Anbia’ : 107)
Syeikh Ali Jumaat menyatakan dalam fatwanya, sekiranya seorang muslim mengucap tahniah, memberi hadiah dan dan menziarahi non-muslim itu merupakan satu amalan yang baik disisi Islam. Bahkan Allah taala telah menyuruh supaya manusia sentiasa berkomunikasi sesama manusia dengan pertuturan yang baik tanpa membezakan dikalangan makhluk-Nya dan menyuruh sekalian manusia berkelakuan adil dan baik.
Firman Allah taala :
وقولوا للناس حسنا
“Berkatalah kepada semua manusia dengan kata-kata yang baik”. (Surah al-Baqarah : 83)
Firman Allah taala :
إن الله يأمر بالعدل والإحسان
“Sesungguhnya Allah menyuruh untuk melakukan keadilan dan perlakuan baik”. (Surah al-Nahl : 90)
Apatah lagi kita juga tidak dilarang untuk menerima sesuatu kebaikan dan hadiah daripada mereka.
Firman Allah taala :
إنما ينهاكم الله عن الذين قاتلوكم في الدين وأخرجوكم من دياركم
وظاهروا على إخراجكم أن تولهم
“Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangimu (dikalangan non-muslim yang zimmi) dalam urusan agama dan tidak mengusir kamu dari kampung halamanmu, sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil”. (Surah al-Mumtahanah : 8)
PANDANGAN BEBERAPA ULAMA TENTANG HUKUM TERSEBUT
Menerima dan memberi hadiah kepada non-muslim diharuskan oleh syara’ bahkan ianya pernah diamalkan oleh baginda Nabi s.a.w. (sunnah Rasulullah s.a.w.) Ianya juga termasuk dalam amal kebaikan (ihsan) sesama manusia. Disana tiada nas yang khusus menyatakan haram menerima sebarang bentuk cenderahati dan hadiah daripada seseorang yang non-muslim.
Syeikh Zakaria al-Ansari al-Syafi’ie pernah berkata dalam kitabnya : “Harus menerima hadiah daripada non-muslim kerana mengikuti sunnah Nabi s.a.w.”
Imam Ibn Jauzi berkomentar berdasarkan daripada Firman Allah taala dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 : “Para ulama tafsir telah berkata ; Ayat ini merupakan keringanan kepada non-muslim yang tidak memerangi umat Islam dan harus berbuat kebaikan kepada mereka”.
Daripada Asma’ binti Abu Bakar katanya : “Ibuku telah datang ke tempatku sedang dia masih dalam keadaan syirik pada masa hayat Rasulullah s.a.w. Lalu aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w. Aku bertanya kepada baginda : “Ibuku telah datang kepadaku sedangkan dia inginkan sesuatu daripadaku (untuk meminta sesuatu) bolehkah aku menemuinnya? Jawab Rasulullah s.a.w. : “Ya, pergilah berjumpanya”.
Telah ditanya kepada Syeikh ‘Ulaisyh al-Maliki tentang memberikan ucapan penghargaan kepada non-muslim ; Adakah ianya akan menyebabkannya (dengan ucapan penghargaan tersebut) menyebabkan dia termasuk dalam kalangan yang murtad? Lalu beliau menjawab : “Tidak akan murtad seorang lelaki dengan perkataannya tersebut selama mana tidak bertujuan untuk mengagungkan kekufurannya dan tidak redha dengan keadaan (kurfurnya)”.
KONKLUSI
Daripada nas- nas yang telah didatangkan samada daripada ayat Al-Quran, Hadis, pandangan ulama dan sumber-sumber yang lain, maka nyatalah berbuat kebaikan antara muslim dengan non-muslim merupakan satu kebajikan yang akan dinilai oleh Allah taala sebagai amal soleh.
Ianya menjadi salah satu medium dakwah yang berkesan sekiranya ingin menarik lebih ramai non-muslim untuk dekat dengan ajaran Islam. Islam bukan agama yang memaksa dan mengongkong umatnya. Bahkan dalam situasi berbeza agama sekalipun, Islam memberikan kelonggaran kepada umatnya untuk bersama-sama mencipta satu suasana yang harmoni kehidupan.
Apatah lagi dalam keadaan umat Islam yang hidup dalam sesebuah komuniti masyarakat yang berbilang agama, bangsa dan wara kulit, sangat perlu sentiasa bekerjasama dan tolong menolong samada dalam bidang politik, pendidikan, pembangunan insan, sosio-kemasyarakatan, perekonomian, kebudayaan dan kesukanan.
Namun kerjasama yang dilakukan tersebut dalam semua keadaan mestilah sesuai dengan ajaran Islam, bahkan prinsip-prinsip asas Islam tidak tergadai dalam apa-apa bentuk kemaksiatan dan dosa kepada Allah taala.
Ini kerana, intipati Islam yang dibawakan oleh baginda Rasulullah s.a.w. adalah untuk membentuk keperibadian seseorang individu muslim untuk berakhlak mulia sesama makhluk Allah sebagaimana sabda baginda s.a.w :
إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق
“Sesungguhnya aku (Muhammad) diutuskan untuk menyempurnakan akhlak”.
Wallahu a’lam.
“Membentuk Dengan Acuan Al-Azhar”
“Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan”
Disediakan oleh :
Muhammad Zuhairi bin Zainal Abidin
Ketua Badan Pengetahuan dan Penyelidikan PMRAM 2012
______________________________________
RUJUKAN
[1] Kitab al-Bayan lim Yasyghalul Azhan karangan Syeikh Ali Jumaat : m/s 56
[2] Kitab al-Isti’ab karangan Ibn Abdul Barri : Jild 1, m/s 314
[3] Kitab Torhul Tasrib karangan Imam Hafiz al-‘Iraqi : Jilid 4, m/s 35-36
[4] Kitab Asnal Matholib karangan Syeikh Zakarian al-Ansari : Jilid 2, m/s 479
[5] Kitab al-Adab al-Syariyyah karangan Ibn Muflih al-Hanbali : Jilid 1, m/s 437
[6] Kitab Fathul Ali al-Malik fil Fatwa ‘ala Mazhabil Imam Malik karangan Syeikh ‘Ulaiysh : Jilid 2, m/s 349
perkara baik sebagai contoh untuk non muslim. moga perkongsian ni menjelaskan jika ada yg ragu2.
Contoh akhlak yang terbaik kita dengan Menziarahi Non-Muslim x kira apa keadaan dia sekali pon,tambahan waktu sakit