Alhamdulillah segala puji bagi Allah yang masih mengurniakan kepada kita anugerah yang amat besar iaitu nikmat masa agar dengannya kita mampu menjadikannya wasilah kepada Redha dan Maghfirah Allah taala.
ASAS PEREDARAN MASA
Islam menjadikan peredaran bulan sebagai tempoh kepada perkiraan kalendar Hijrah (Taqwim Qamariah). Perkiraan tersebut mula dikira sempena tahun penghijrahan Rasulullah dan para sahabat ke Madinah lantas terbinalah disana Daulah Islamiah yang pertama.
Adapun peredaran matahari menjadi perkiraan kepada bulan Masihi iaitu Taqwim Syamsiah. Ianya telah diperkenalkan semenjak zaman pemerintahan kerajaan Rom yang diambil sempena kelahiran Nabi Isa a.s. bermula semenjak 20 abad yang lalu. Namun calendar Masihi yang diguna sekarang adalah yang diperkenalkan oleh Pope Gregory XIII bemula pada tahun 1582 Masihi.
Asas Kalendar Islam dan Masihi ini sebenarnya telah digambarkan al-Quran sebagaimana Firman Allah taala bermaksud:
هُوَ ٱلَّذِى جَعَلَ ٱلشَّمۡسَ ضِيَآءً۬ وَٱلۡقَمَرَ نُورً۬ا وَقَدَّرَهُ ۥ مَنَازِلَ لِتَعۡلَمُواْ عَدَدَ ٱلسِّنِينَ وَٱلۡحِسَابَۚ مَا خَلَقَ ٱللَّهُ ذَٲلِكَ إِلَّا بِٱلۡحَقِّۚ يُفَصِّلُ ٱلۡأَيَـٰتِ لِقَوۡمٍ۬ يَعۡلَمُونَ
“Dialah (Allah) yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-pindah) pada tempat peredarannya (masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa”.(Surah Yunus : 5)
BULAN MASIHI (1 JANUARI) TARIKH KERAMAT
Tarikh 1 Januari setiap tahun(bulan pertama dalam kalendar Masihi menunjukkan pertukaran tahun baru) pasti akan menjadi sejarah yang tersendiri apabila kebanyakan daripada kita umat Islam juga ada yangmenyambut kedatangannya dengan begitu meriah. Bahkan ianya kadang-kadang melebihi sambutan daripada hari-hari kebesaran Islam itu sendiri.
Sedangkan, kita di ajar untuk mengira peredaran hari menggunakan bulan Islam, ia terlebih baik kerana kebanyakan perkara-perkara tentang agama dikira menggunakan perkiraan bulan samada tempoh hawl bagi pengeluaran zakat, ru’yah hilal untuk berpuasa, tempohquru’ bagi perempuan selepas kematian suami dan dicerai, tempoh menentukan hari raya serta lain-lain lagi tempoh besar dalam Islam.
Justeru, secara umumnya adalah lebih baik untuk kita mengingati bulan Islam ini bagi terus menjaga identiti Islam yang tersendiri.
Apa yang perlu disedari umat Islam, keadaan mereka sebenarnya mengundang kemurkaan Allah taala apabila mereka semakin hari semakin jauh dengan agama. Menyebabkan tindakan segelintir daripada kita tidak menghiraukan bentuk-bentuk pengamalan yang dilakukan sehari-hari mengundang azab Allah taala dengan pelbagai maksiat dan dosa.
Benarlah Firman Allah taala :
ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِى ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِى ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِى عَمِلُواْ
لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ
“Terzahirnya kefasadan di daratan dan di lautan adalah disebabkan perbuatan (mungkar) manusia, Allah menghendaki agar mereka merasakan sebahagian daripada akibat perbuatan mereka moga-moga mereka kembali”. (Surah al-Rum : 41 )
PELBAGAI KEFASADAN BERLAKU
Itulah yang telah berlaku apabila tibanya Tahun Baru Masehi, sambutan tidak lengkap kalau tiadakonsert-konsert hiburan,tari-menari, persembahan gelak ketawa, dendangan lagu,samada di televisyen, radio ataupun di tempat sambutan yang dilakukan di kawasan umum.
Firman Allah taala :
“
وَمَن يَعۡشُ عَن ذِكۡرِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ نُقَيِّضۡ لَهُ ۥ شَيۡطَـٰنً۬ا فَهُوَ لَهُ ۥ قَرِينٌ۬
وَإِنَّہُمۡ لَيَصُدُّونَہُمۡ عَنِ ٱلسَّبِيلِ وَيَحۡسَبُونَ أَنَّہُم مُّهۡتَدُونَ
“dan barangsiapa yang berpaling daripada pengajaran Allah taala, Kami akan benarkan syaitan (menyesatkannya) dan menjadi teman karib mereka, sesungguhnya syaitan-syaitan itu benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar , sedang mereka menyangka bahawa mereka mendapat petunjuk”. (Surah al-Zukhruf : 36-37)
Disebabkan itu, sambutan tersebut lebih membawa keburukan apabila berlakunya pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan tanpa ada ikatan mahram yang dibenarkan dengan perbuatan dan percakapan yang hanya akan membangkitkan hawa nafsu sendiri. Kebanyakan daripada anak-anak muda megambil peluang ini untuk keluar bersama bahkan dalam erti kata untuk membuat kemungkaran kepada Allah walaupun mereka tahu ianya dilarang.Sedangkan Allah taala melarang kita daripada perkara tersebut.
Firman Allah taala :
وَلَا تَقۡرَبُواْ ٱلزِّنَىٰٓۖ إِنَّهُ ۥ كَانَ فَـٰحِشَةً۬ وَسَآءَ سَبِيلاً۬
“Dan janganlah kamu mendekati zina sesungguhnya ia adalah satu perkara yang keji dan buruk jalannya”. (Surah al-Isra’ : 32)
Lalu apabila jalan dan medan untuk melepaskan nafsu sudah ada, pelbagai lagi kefasadan dikalangan mereka akan berlaku seusai sambutan Tahun Baru. Kes zina, rogol, khalwat dan macam-macam lagi bentuk kemungkaran dapat dilihat membabitkan goglongan muda dan tidak terlepas juga kepada mereka yang kurang iman.
Ianya juga membawa kepada sebuah pembaziran yang tidak terhitung banyaknya, iaitu pembaziran wang kerajaan dengan persiapan yang cukup rapi bagi menjayakan sambutan Tahun Baru tersebut.Allah taala melarang daripada hamba-hambanya daripada melakukan pembaziran yang berlebih-lebihan.
Firman Allah taala :
“
إِنَّ ٱلۡمُبَذِّرِينَ كَانُوٓاْ إِخۡوَٲنَ ٱلشَّيَـٰطِينِۖ وَكَانَ ٱلشَّيۡطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورً۬ا
Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah sahabat-sahabat syaitan, adapun syaitan itu adalah bagi kamu musuh yang nyata”. (Surah al-Isra’ : 27)
Ada juga dikalangan mereka yang bersuka ria sampai ke pagi hari denganmakan besar sempena merayakan Tahun Baru, sehingga mabuk meminum minuman syaitan, bejudi dan lain-lain sehingga lupa kewajipan mereka sebagai umat Islam yang sepatutnya.
Sesungguhnya Allah taala ada berfirman :
يَسۡـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلۡخَمۡرِ وَٱلۡمَيۡسِرِۖ قُلۡ فِيهِمَآ إِثۡمٌ۬ ڪَبِيرٌ۬ وَمَنَـٰفِعُ لِلنَّاسِ
وَإِثۡمُهُمَآ أَڪۡبَرُ مِن نَّفۡعِهِمَاۗ
“Mereka menanyakanmu (Wahai Muhammad) tentang khamr (segala minuman yang memabukkan) dan judi, maka katakanlah : Pada keduanya terdapat dosa besar dan beberapa kecil sahaja manfaat bagi manusia, tetapi dosanya lebih besar daripada manfaatnya..” (Surah al-Baqarah : 219)
Ada yang bertindak ganas pada malam ini dengan melakukan tindakan liar dan merosakkan harta benda awam dan harta benda masyarakat awam serta mengancam keselamatan diri dengan pelbagai adegan mencuri, merompak, peras ugut dan lain-lain. Hal ini timbul daripada hawa dan nafsu yangditunas daripada program-program dan didikan yang tidak syar’ie sebagaimana sambutan yang disajikan dengan lagu-lagu, tari menari dan hiburan melampau apabila tiba sambutan Tahun Baru.
Firman Allah taala dengan tegas melakukan pencabulan hak asasi manusia lain :
وَٱلَّذِينَ يُؤۡذُونَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ وَٱلۡمُؤۡمِنَـٰتِ بِغَيۡرِ مَا ٱڪۡتَسَبُواْ فَقَدِ ٱحۡتَمَلُواْ بُهۡتَـٰنً۬ا وَإِثۡمً۬ا مُّبِينً۬ا
“Dan mereka-mereka yang menyakiti orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan (dalam apa jua bentuk) tanpa ada apa pun kesalahan yang mereka buat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata”. (Surah al-Ahzab : 58)
Rasulullah juga pernah bersabda daripada Abdullah bin Amru bin al-Ash r.a. :
المسلم من سلم المسلمون من لسانه ويده
“Seorang muslim adalah yang menjaga keselamatan terhadap muslim yang lain daripada lidah dan perbuatannya”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dan janganlah kerana terlalu mengikut dan melayan kehendak hawa nafsu kita sudah hilang pegangan hidup dalam erti kata jati diri seorang muslim sebenar sedangkan kita sudah diberi petunjuk dan peringatan yang jelas.
Firman Allah taala :
وَلَوِ ٱتَّبَعَ ٱلۡحَقُّ أَهۡوَآءَهُمۡ لَفَسَدَتِ ٱلسَّمَـٰوَٲتُ وَٱلۡأَرۡضُ وَمَن فِيهِنَّۚ
بَلۡ أَتَيۡنَـٰهُم بِذِڪۡرِهِمۡ فَهُمۡ عَن ذِكۡرِهِم مُّعۡرِضُونَ
“Seandainya kebenaran itu mengikuti keinginan (hawa nafsu) mereka pasti binasalah langit dan bumi serta semau yang ada dalamnya, bahkan Kami telah memberikan peingatan kepada mereka tetapi mereka berpaling daripada peringatan itu”. (Surah al-Mukminun :71)
PERBAHASAN TENTANG KEHARUSAN MENYAMBUT SAMBUTAN TAHUN BARU
Tidak dinafikan bahawa terdapat para ulama yang HARAM kan sama sekali sambutan Tahun Baru Masihi dalam apa jua bentukoleh kerana sambutan Tahun Baru tersebut tidak memberi apa-apa makna dalam Islam yang tidak perlu disambut dan diagungkan. Bahkan ianya adalah termasuk dalam salah satu perayaan Kristian yang meraikan dan mengagungkan kelahiran Tuhan Jesus mereka (Tuhan Anak dalam pegangan Kristian). Sebab itulah ianya bertentangan dengan syariat Islam dan bersifat syirik seandainya kita mengagungkan perayaan sambutan Tahun Baru Masihi sebagaimana mereka (Kristian).
Ini adalah sebagai langkah berjaga-jaga daripada menyebabkan pelbagai kemungkaran berlaku secara bermaharajalela didalam masyarakat yang akhirnya membawa kepada kefasadan dan kemungkaran disisi Allah taala. Pendapat ini berhujahkan satu Usul asas dalam Fiqh iaitu : “Saddu al-Zara’ie” سد الذرائع iaitu menyekat sebelum sesuatu perkara itu berlaku lebih buruk.
Namun, menyambut Tahun Baru Masehi (yang mengikut kiraan
Gregorian calendarciptaan Pope Gregory), ada juga yang berpendapat ia adalah
HARUS secara bersyaratdaripada sesetengan ijtihad ulama’serta bergantung kepada cara sambutan dan keraian yang dibuat.
SYARAT-SYARAT MENYAMBUT TAHUN BARU MASIHI
1. Tidak menganggap ianya adalah satu upacara keagamaan dan tidak dianggap dianggap sebagai ibadat.
Ini adalah kerana perayaan tersebut sempena kelahiran Tuhan Jesus (pegangan Kristian) dan mereka menganggap merayakannya adalah salah satu daripada upacara ibadat dan penggagungan kepada Tuhan mereka.Ini adalah kerana Allah melarang kita menyembah dan beriktiqad sebagaimana iktiqad-iktiqad yang songsang dan batil.Ini adalah kerana mereka (Kristian) walaupun daripada agama samawi yang dirunkan Allah namun telah dipesongkan. Tapi andainya sekadar menyambut dengan ber mujamalah (dalam bab kesopanan dan kebaikan dalam pergaulan).
Firman Allah :
قُلۡ يَـٰٓأَيُّہَا ٱلۡڪَـٰفِرُونَ (١) لَآ أَعۡبُدُ مَا تَعۡبُدُونَ (٢) وَلَآ أَنتُمۡ عَـٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ (٣) وَلَآ أَنَا۟ عَابِدٌ۬ مَّا عَبَدتُّمۡ (٤) وَلَآ أَنتُمۡ عَـٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ (٥) لَكُمۡ دِينُكُمۡ وَلِىَ دِينِ (٦
“Katakanlah (Wahai Muhammad) : Wahai orang-orang kafir ! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah !dan aku bukan penyembah apa yang kamu sembah ! dan aku tidak pernah menyembah apa yang kamu sembah ! dan kamu tidak pernah pula menjadi penyembah apa yang aku sembah ! untukmu agamamu dan untukku agamaku”. (Surah al-Kafirun : 1-6)
2. Sambutan dilakukan atas dasar Uruf dan Adat.
Dalam Qawaied Fiqhiyyah ada menyebutkan satu kaedah : الأصل في الأشياء الإباحة “al-Aslu fil ashya’ al-Ibahah” . Maksudnya : “Asal hukum sesuatu perkara itu adalah harus”. Ini adalah mengikut Mazhab Syafie yang mengharuskan hukum sesuatu perkara sehinggalah datang dalil mewajibkan dan mengharamkan perkara tersebut.
Rasulullah s.a.w. ada bersabda :
الحلال ما أحل الله في كتابه ، والحرام ما حرم الله في كتابه
وما سكت عنه فهو مما عفا عنه
“Halal itu apa yang telah diperkatakan halal oleh Allah dalam kitab-Nya , haram itu apa yang diperkatakan haram oleh Allah itu dalam kitab-Nya, dan apa tidak diperkatakan oleh-Nya, (tidak dinyatakan halal dan haram secara qati’e) maka ianya dimaafkan perkara tersebut disisi Allah”. (Hadis Riwayat al-Tarmizi)
Dalam kaedah lain pula menyebut : العادة المحكمة “al-‘Adat al-Muhakkamah”. Maksudnya : “Adat yang tidak bercanggah dengan syara’ boleh menentukan sesuatu perbuatan dan tindakan”.
Oleh kerana itu, beberapa kaedah diatas menunjukkan bahawa pengaharusan dari sudut hukum untuk kita menyambut perayaan tahun Baru sekiranya ia dianggap sebagai adat dan kebiasaaan setempat mengamalkannya tetapi mestialah sesuai dengan norma-norma Islam.
3. Menjaga isi kandungan majlis, aktiviti dan setiap slot dalam sambutan tersebut sesuai dengan kehendak syara’.
Sesungguhnya manusia dicipta untuk menghambakan diri kepada Allah bukan kepada nafsu sebagaimana Firman-Nya :
وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ
“Dan tidaklah aku menciptakan manusia dan jin melainkan untuk menghambakan diri kepada-Ku”. (Surah al-Zariat : 56)
Sepatutnya, sambutan tersebut diisi dengan program dan aturcara-aturcara ilmiah yang dapat membangkitkan naluri dan fitrah kemanusiaan kepada pencipta-Nya yang telah menganugerahkan kehidupan kepada mereka dengan pelbagai nikmat-nikmat.
Firman Allah taala :
وَإِن تَعُدُّواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ لَا تُحۡصُوهَآۗ
“Sekiranya kamu menghitung nikmat-nikmat Allah maka nescaya tidak akan terhitung banyaknya”. (Surah Ibrahim : 34)
Samada disusun sebagaimana agenda nasyid, sajak, lakonan pentomen, ucapan tazkirah, doa dan lain-lain agar sentiasa melazimi kebaikan dan tolong menolong melakukan kebajikan samada dikalangan muslim mahupun non-muslim.
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah pernah bersabda :
“Sesiapa yang menyeru kepada hidayah Allah maka baginya pahala sebagaimana pahala orang yang melakukannya, tidak akan dikurangkan pahala tersebut walaupun sedikitpun”.(Hadis Riwayat Muslim)
Apa yang disarankan oleh Rasulullah kepada umatnya agar kita sentiasa berada dalam nikmat Allah yang banyak itu dengan bersyukur dan sentiasa merenung kepada pemberian tersebut agar hati-hati kita jinak dengan setiap qada’ dan qadar Allah taala. Bahkan antara banyak-banyak doa yang Nabi tuturkan adalah doa memohon kebaikan di dunia dan di akhirat dalam apa jua bentuk pengamalan yang dilakukan.
Daripada Anas bin Malik :
كان أكثر دعاء النبي صلى الله عليه وسلم : اللهم ربنا أتنا في الدنيا حسنة
وفي الآخرة حسنة وقنا عذاب النار
“Adalah yang paling banyak Nabi berdoa : “Allahumma atina fiddunia hasanah wa fil akhirati hasanah waqina azabannar (Ya Allah ! Berikanlah kami kehidupan didunia akan segala kebaikan dan kehidupan di akhirat juga segala kebaikan serta jauhilah kami daripada neraka-Mu)”. (Hadis Riwayat Tarmizi)
4. Menjaga batas-batas pergaulan antara yang bukan mahram.
Apa yang penting dalam setiap majlis dan program-program yang dilakukan mestilah cuba sedaya upaya untuk menjaga batasan pergaulan. Namun secara kebiasaannya dalam majlis yang besar seperti sambutan Tahun Baru ini, pastinya pelbagai jenis manusia yang hadir dari seluruh pelusuk dan ceruk muka bumi untuk meraikannya. Samada daripada mana-mana darjat, kedudukan, umur, jenis, agama dan lain-lain.
Oleh itu perlulah sentiasa mengambil ihtimam (mengambil berat) dengan menjaga etika dan sosio pergaulan agar ianya sentiasa dalam landasan syara’. Kerana sudah pastilah dalam medan yang dipenuhi manusia, pelbagai kelakuan yang buruk akan berlaku andainya tidak dijaga. Mestilah sentiasa menjaga pandangan, pendengaran, percakapan dan adab pergaulan.
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah pernah bersabda :
كتب على ابن آدم نصيبه من الزنا مدرك ذلك لا محالة : العينان زناهما النظر، والأذنان زناهما الاستماع، واللسان زناه الكلام، واليد زناها البطش، والرجل زناها الخطا، والقلب يهوى ويتمنى، ويصدق ذلك الفرج أو يكذبه
“Telah tertulis keatas tiap-tiap anak Adam akan bahagiannya daripada perbuatan zina samada dalam keadaan sedar tentu sahaja : Mata, kedua-duanya berzina dengan cara penglihatan, Telinga, kedua-duanya berzina dengan pendengarannya, Mulut berzina dengan kata-katanya, Tangan, kedua-duanya berzina dengan kekerasan, Hati, bernafsu dan memasang angan-angan dan kemaluan itu mengiyakan atau mendustakannya”. (Hadis Riwayat Muslim)
Moga dijauhkan kita semua daripada segalanya itu.
5. Mengharapkan Berkat dan Rahmat daripada Allah taala.
Ketika inilah kita mengambil peluang daripada perhimpunan secara langsung tersebut dengan mengajak seluruh manusia kepada kesatuan dan saling nasihat menasihati dalam pekerjaan agama.
Firman Allah taala :
وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٲنِۚ
“Bertolong-tolonglah kamu semua kepada kebajikan dan mendapatkan taqwa , janganlah kamu bertolong-tolong kepada kejahatan dan permusuhan “. (Surah al-Maidah : 2)
Sabda Rasulullah daripada Abi Ruqayyah Tamim bin ‘Aus al-Darriyyi :
الدين النصيحة ثلاثا قلنا لمن يا رسول الله قال لله ولكتابه
ولرسوله ولأئمة المسلمين وعامتهم
“Agama itu adalah Nasihat”. Kami bertanya : “Kepada siapa?”, Lalu Rasulullah berkata : “Kepada Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, pemimpin-pemimpin orang Islam dan kepada rakyat secara keseluruhan” (Hadis Riwayat Muslim)
Bahkan kita mengaharapkan dengan segenap pekerjaan dan tanggungjawab kita sehari-hari samada dalam persoalan agama, keduniaan, kepentingan negara, kemasyarakatan, ekonomi, kebudayaan, pendidikan dan lain-lain adalah untuk mendapatkan berkat dan rahmat daripada Allah taala.
Firman Allah taala :
وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡہِم بَرَكَـٰتٍ۬ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ
“Dan sekiranya penduduk sesuatu negeri itu beriman nescaya kami akan bukakan (anugerahkan) bagi mereka berkat-berkat daripada langit dan bumi”. (Surah al-A’raaf : 96).
Kita takut sekiranya majlis dan sambuta Tahun Baru tersebut dilakukan bukan kerana Allah bahkan kerana hawa nafsu dan untuk berseronok dengan perkara dunia yang sia-sia maka Berkat dan Rahmat Allah tidak akan turun kepada kita bahkan azab Allah itu mendahului kepada seluruh negeri.
Firman Allah taala :
وَٱتَّقُواْ فِتۡنَةً۬ لَّا تُصِيبَنَّ ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنكُمۡ خَآصَّةً۬ۖ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ
“Peliharalah diri kamu daripada dari siksaan yang tidak hanya menimpa orang-orang yang zalim sahaja dikalangan kamu, ketahuilah bahawa Allah teramat keras siksaannya”. (Surah al-Anfal : 25)
KESIMPULAN
Semoga Tahun Baru yang akan disambut malam nanti adalah sebagai satu muhasabah kepada amalan-amalan yang dilakukan sebelum daripada ditahun-tahun yang terdahulu dagar kita mampu sentiasa meningkkatkan potensi diri daripada buruk kepada yang baik, dan daripada yang baik kepada yang lebih baik dan terbaik. Jadikan Tahun Baru ini momentum kepada sebuah tindakan kerja dan aktiviti seharian agar mengikut kehendak dan landasan Islam yang sepatutnya.Ikhlaskan niat, kenali diri, spesifikkan azam, perbanyakkan amalan, anggarkan keberjayaan, ransang tindakan kearah kebaikan dan positifkan keadaan kerana kita adalah hamba Allah yang Maha Esa.
Kerana sesungguhnya masa itu adalah amat berharga kepada kita sehinggakan Allah taala sendiri yang menukulkan dalam Firman-Nya :
وَٱلۡعَصۡرِ (١) إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لَفِى خُسۡرٍ (٢) إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ
(وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ (٣
“Demi Masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh, dan berpesan-pesan kepada kebaikan serta berpesan-pesan kepada kesabaran”. (Surah al-Asr : 1-3)
Wallahu Waliyyu al-Taufiq
Disediakan oleh :
Muhammad Zuhairi bin Zainal Abidin
Felo MANHAL PMRAM