MUQADDIMAH
Tanggal 25 Disember merupakan tarikh istimewa bagi penganut agama kristian di seluruh dunia. Pada hari tersebut, para penganut agama ini akan meraikan perayaan Krismas sempena memperingati kelahiran Nabi Isa mengikut kepercayaan mereka. Menurut pegangan agama kristian, Nabi Isa merupakan anak kepada Allah S.W.T yang mengorbankan dirinya bagi menebus dosa warisan yang diturunkan dari satu generasi kepada generasi yang lain akibat perbuatan Nabi Adam a.s. yang dikeluarkan dari syurga. Namun berbeza pula kita sebagai seorang muslim yang dikurniakan dua perayaan besar iaitu Aidilfitri dan Aiduladha tanpa mengingkari Nabi Isa adalah sebagai utusan, bukannya anak Allah S.W.T.
Nabi Isa Tidak Disalib
Kelahiran Nabi Isa a.s. merupakan satu peristiwa istimewa yang telah tertulis di dalam Al-Quran. Kelahiran amat yang luar biasa apabila ibunya, Maryam terpilih untuk dihidupkan roh seorang insan agung di dalam rahimnya dengan izin Allah S.W.T. walaupun dirinya ketika itu belum pernah berkahwin. Malah, Maryam berasa sangat hairan apabila menerima khabar ini. Bahkan beliau tidak pernah langsung disentuh oleh mana-mana lelaki. Tetapi, ia dijawab dengan ayat Al-Quran yang menyatakan bahawa Allah S.W.T. berkuasa ke atas segala sesuatu.
FirmanNya :
Maksudnya : (ingatlah) ketika malaikat berkata: “Wahai Maryam! bahawasanya Allah memberikan khabar Yang mengembirakanmu, Dengan (mengurniakan seorang anak Yang Engkau akan kandungkan semata-mata dengan) kalimah daripada Allah, nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Maryam, seorang Yang terkemuka di dunia dan di akhirat, dan ia juga dari orang-orang Yang didampingkan (diberi kemuliaan di sisi Allah). Dan ia akan berkata-kata kepada orang ramai semasa ia masih kecil Dalam buaian, dan semasa ia dewasa, dan ia adalah dari orang-orang Yang soleh. Maryam berkata:” Wahai Tuhanku! Bagaimanakah Aku akan beroleh seorang anak, padahal Aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun?” Allah berfirman; “Demikianlah keadaannya, Allah menjadikan apa Yang dikehendakiNya; apabila ia berkehendak melaksanakan sesuatu perkara, maka ia hanyalah berfirman kepadanya: ` Jadilah Engkau ‘, lalu menjadilah ia.” (Surah Ali ‘Imran: 45-47)
Suatu perkara pelik berlaku kepada Nabi Isa a.s. apabila mampu berkata-kata ketika masih kecil dan sungguh mengejutkan penduduk kawasan setempat pada waktu itu. Perkara ini ada disebutkan dalam ayat yang telah dibacakan sebelum ini. Tatkala ibunya Maryam ditohmah masyarakat berikutan peristiwa kelahiran seorang bayi yang tidak berbapa sedangkan mereka mengetahui bahawa Maryam masih seorang gadis sunti yang belum pernah berkahwin, Allah mendatangkan pembantu melalui anaknya sendiri yang membela ibunya. Nabi Isa a.s. berkata :
“Sesungguhnya aku ini hamba Allah, Dia memberiku al-Kitab (injil) dan Dia menjadikan aku seorang nabi. Dan Dia menjadikan aku seorang yang diberkati di mana saja aku berada, dan Dia memerintahkan kepadaku (mendirikan) salat dan (menunaikan) zakat selama aku hidup; dan berbakti kepada ibuku, dan Dia tidak menjadikanku seorang yang sombong lagi celaka. Dan kesejahteraan semoga dilimpahkan kepadahu, pada hari aku dilahirkan, pada hari aku meninggal dan pada hari aku dibangkitkan hidup kembali. ” (Surah. Maryam: 30-33)
Begitulah kisah kelahiran agung yang cukup luar biasa di dalam Al-Quran yang jelas bertentangan dengan kepercayaan masyarakat Kristian yang mengangkat baginda sebagai tuhan mereka. Malah baginda sendiri menolak dan menafikan sekerasnya kepercayaan orang kafir ini seperti yang terakam di dalam Al-Quran :
Maksudnya : Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: “Hai Isa putera Maryam, adakah kamu mengatakan kepada manusia: “Jadikanlah aku dan ibuku dua orang Tuhan selain Allah?”. Isa menjawab: “Maha suci Engkau, tidaklah patut bagiku mengatakan apa yang bukan hakku (mengatakannya).Jika aku pernah mengatakan Maka tentulah Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku dan aku tidak mengetahui apa yang ada pada diri Engkau. Sesungguhnya Engkau Maha mengetahui perkara yang ghaib-ghaib. Aku tidak pernah mengatakan kepada mereka kecuali apa yang Engkau perintahkan kepadaku (mengatakan)nya Yaitu: “Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhanmu”, dan adalah aku menjadi saksi terhadap mereka, selama aku berada di antara mereka. Maka setelah Engkau menangkatku, Engkau-lah yang mengawasi mereka, dan Engkau adalah Maha Menyaksikan atas segala sesuatu. (Surah Al-Ma’idah: 116-117)
Bukan itu sahaja, malah baginda sebenarnya tidak pernah dibunuh atau disalib tetapi hanya diserupakan muka baginda dengan salah seorang pengikutnya. Dakwaan berani ini telah direka-reka dan dinisbahkan kepada baginda serta menjadi anutan penganut agama ini sehingga ke hari ini. Perkara sebenar yang berlaku kepada baginda ialah diangkat ke langit sebelum akan diturunkan semula sebagai antara tanda besar hari kiamat. Firman Allah S.W.T. :
Maksudnya : dan juga (disebabkan) dakwaan mereka Dengan mengatakan: “Sesungguhnya Kami telah membunuh Al-Masih Isa Ibni Maryam, Rasul Allah”. padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak memalangnya (di kayu palang – salib), tetapi diserupakan bagi mereka (orang Yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa). dan Sesungguhnya orang-orang Yang telah berselisih faham, mengenai Nabi Isa, sebenarnya mereka berada Dalam keadaan syak (ragu-ragu) tentang menentukan (pembunuhannya). tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata; dan mereka tidak membunuhnya Dengan yakin. bahkan Allah telah mengangkat Nabi Isa kepadanya; dan adalah Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah An-Nisaa’ ayat 157-158).
Kebangkitan semula Nabi Isa a.s. pula ada diceritakan pada beberapa hadith Nabi S.A.W., antaranya :
حَدَّثَنَا الْوَلِيدُ بْنُ شُجَاعٍ وَهَارُونُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ وَحَجَّاجُ بْنُ الشَّاعِرِ قَالُوا حَدَّثَنَا حَجَّاجٌ وَهُوَ ابْنُ مُحَمَّدٍ عَنْ ابْنِ جُرَيْجٍ قَالَ أَخْبَرَنِي أَبُو الزُّبَيْرِ أَنَّهُ سَمِعَ جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ يَقُولُا سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي يُقَاتِلُونَ عَلَى الْحَقِّ ظَاهِرِينَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ قَالَ فَيَنْزِلُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَقُولُ أَمِيرُهُمْ تَعَالَ صَلِّ لَنَا فَيَقُولُ لَا إِنَّ بَعْضَكُمْ عَلَى بَعْضٍ أُمَرَاءُ تَكْرِمَةَ اللَّهِ هَذِهِ الْأُمَّةَ
Maksudnya : Telah menceritakan kepada kami al-Walid bin Syuja’ dan Harun bin Abdullah serta Hajjaj bin asy-Sya’ir mereka berkata, telah menceritakan kepada kami Hajjaj -yaitu Ibnu Muhammad- dari Ibnu Juraij dia berkata, ” Abu az-Zubair telah mengabarkan kepadaku, bahwa ia mendengar Jabir bin Abdullah berkata, “Saya mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Akan senantiasa ada dari umatku sekelompok orang yang berperang di atas kebenaran, mereka akan selalu nampak hingga hari kiamat.” Beliau bersabda lagi: “Lalu turunlah Isa putra Maryam, lalu pemimpin mereka berkata, ‘Kemarilah, pimpinlah kami shalat.” Isa lalu berkata, ‘Tidak, sesungguhnya sebagaian kalian atas sebagian yang lain adalah pemimpin, sebagai bentuk pemuliaan Allah terhadap umat ini’.” (Hadith ke-225 riwayat Imam Muslim)
Allah S.W.T. turut menegaskan didalam kitabNya bahawa Nabi Isa a.s. hanyalah manusia biasa yang diangkat menjadi seorang rasul seperti rasul-rasul sebelumnya dan bukanlah tuhan seperti yang diagung-agungkan oleh para penganut agama Kristian. Firman Allah :
Maksudnya: “Tidaklah Al-Masih putera Maryam itu melainkan hanyalah seorang Rasul yang mana telah berlalu sebelumnya beberapa rasul, dan ibunya seorang yang sangat benar. Kedua-duanya biasa memakan makanan. Perhatikan bagaimana Kami menjelaskan kepada mereka (ahli Kitab) tanda-tanda kekuasaan (Kami), kemudian perhatikanlah bagaimana mereka berpaling (dari memperhatikan ayat-ayat Kami itu). (Surah Al-Ma’idah: 75)
Rujukan :
1. Al-Quran Al-Karim.
2. Sahih Al-Bukhari, karangan Muhammad Ibn Ismail Ibn Ibrahim Ibn al-Mughirah Ibn Bardizbah al-Bukhari.
3. Sahih Muslim, karangan Abul Husayn Muslim ibn al-Hajjaj Qushayri al-Nisaburi.
4. Sunan Abi Daud, karangan Abu Da’ud Sulayman ibn Ash`ath al-Azadi al-Sijistani.
6. Al-Majmu’, karangan Imam An-Nawawi.
7. Ahkam Ahli Zimmah, karangan Imam Ibnu Qayyim.
8. Al-Bidayah Wa An-Nihayah, karangan Imam Ibnu Kathir.
9. Tasamuh Fi Hadarah Islamiyah, karangan Dr Ikrimah Sobri.
SUMBER :
Muhammad Hanif bin Jamaluddin,
Pemangku Pengerusi Felo MANHAL PMRAM