15 Mac 2013 maka genaplah 2 tahun atau 24 bulan Revolusi rakyat Syria kini dalam kebangkitan mereka menentang kerajaan yang zalim,(Rejim Basyar Al-Asad). Hari ini, (Jumaat) Rakyat Syria menamakan perhimpunan mereka ” Dua Tahun Dalam Perjuangan, Kemenangan Revolusi Kami Kian Menyinar”….
UNICEF melaporkan kini terdapat lebih sejuta pelarian rakyat Syria kini di beberapa buah negara. Kebanyakkan mereka hidup dalam serba kekurangan dan kedaifan.
Mesyuarat Majlis Keselamatan PBB mengenai perlindungan awam dalam konflik bersenjata, Pillay turut mengumumkan sejumlah 60,000 kematian di Syria kini dan memberitahu ahli: “Angka Itu mungkin kini menghampiri 70.000”
Beliau dikritik selaku wakil PBB yang paling berkuasa kerana kegagalan untuk menamatkan pembunuhan di Syria.
Kronologi Ringkas Revolusi Syria
Kebangkitan yang hanya bermula di sebuah perkampungan yang kecil, Hauran dalam wilayah Dar’a apabila beberapa orang pelajar sekolah menconteng di dinding sekolah dengan tulisan “Rakyat Mahu Gulingkan Rejim”.
Mereka kemudian ditangkap oleh pasukan keselamatan yang menjadi barua Basyar serta mendera mereka dengan mencabut kuku-kuku mereka. Salah seorang dari kumpulan kanak-kanak tersebut, Hamzah Al-Khatib telah menemui ajal.
Maka kematian kanak-kanak Hamzah tersebut telah berjaya membangkitkan sentimen benci kepada kezaliman yang dilakukan oleh pasukan polis wilayah Dar’a yang diketuai oleh ‘Atif Najib, seorang kenalan rapat Basyar.Ratusan keluarga kanak-kanak keluar beramai-ramai di Hauran bagi menuntut anak-anak mereka dikembalikan sambil melaungkan slogan “Jatuh, jatuh Atif Najib!”.
Malangnya, dengan angkuh orang suruhan Atif Najib bukan sahaja menolak permintaan keluarga bahkan menghina mereka dengan menjawab “Kalian mesti melupakan anak-anak kalian dan anggaplah mereka telah meninggal dunia, Ataupun sekiranya kalian tidak dapat menerima kenyataan ini, kami boleh mengahwini wanita-wanita kamu bagi mendapatkan anak-anak yang baru “.
Dinding sekolah inilah yang diconteng oleh sekumpulan kanak-kanak sekolah di Dar’a
Berang dengan kata-kata jijik tersebut, ratusan penduduk kampung menyertai keluarga mangsa meneruskan himpunan di tengah-tengah bandar. Mereka yang keluar dengan aman tanpa rusuhan, kekacauan dan senjata malangnya, dibalas oleh pasukan polis Dar’a dengan tembakan bertalu-talu dari helikopter polis yang dihantar oleh Atif Najib bagi melenyapkan kebangkitan. Puluhan menemui syahid di hari pertama di Dar’a.
Sepantas kilat, kebangkitan mulai merebak di Homs, Halab, Hama dan termasuk bandar Damsyik.Kesengsaraan rakyat Syria kini seakan-akan tiada kesudahan apabila dilaporkan hampir 1 juta telah menjadi pelarian ke sempadan Turki, Jordan dan Lubnan. Tidak kurang juga mereka terpaksa berhijrah ke Mesir. Kematian pula menurut angka rasmi kini telah mencecah lebih 60,000 nyawa manakala angka tidak rasmi kemungkinan telah mencecah angka 100,000 berdasarkan penemuan hampir setiap hari perkuburan besar yang dikebumikan puluhan rakyat yang disembelih dan dibunuh.
Fitnah ke atas kebangkitan rakyat Syria kini telah dijayakan oleh media pro-Barat apabila selama dua tahun dunia berjaya dicanangkan bahawa rakyat yang muak dengan kepimpinan Basyar sebagai “pemberontak” dan usaha tentera kerajaan untuk mematahkan pemberontakan adalah sah di sisi undang-undang sedangkan Basyar dan ayahnya, Hafiz Al-Asad menaiki singgahsana kerajaan bukan melalui pilihan rakyat, tetapi rampasan kuasa. Sepanjang 60 tahun, tiada satu pilihanraya memilih Presiden baru diadakan.
Umat Islam cukup dukacita kerana rejim Syria kini dibantu sepenuhnya oleh Iran dan tentera Hizbullah yang berpengkalan di selatan Lubnan setelah Russia dan China bersungguh-sungguh mempertahankan rejim Syria. Amerika dan PBB pula memerhati dari jauh bimbang penguasaan kumpulan Islam ke atas Syria selepas kejatuhan Basyar, satu mimpi ngeri yang tidak diingini oleh mereka setelah mengambil iktibar apa yang berlaku di Mesir selepas kejatuhan Mubarak. Amerika dan PBB tentunya akan membuat percaturan yang berhati-hati bagi memastikan anak emas mereka, Israel akan terselamat.
Rejim Syria yang hanya bertongkatkan kuasa-kuasa asing tadi memperhebatkan serangan ke atas rakyat awam. Tidak cukup dengan askar dan tali barut mereka menyembelih kanak-kanak serta wanita, mereka turut menggunakan pesawat tempur mengebom rumah kediaman orang awam selain dilaporkan menggunakan gas kimia yang diharamkan oleh badan sedunia.
Kini, setelah 2 tahun berlalu seakan-akan Syria kini dilupakan. Kemungkinan isu seputar negara masing-masing menjadikan kita leka dari tanggungjawab membantu saudara seagama kita ini. Mungkin kesungguhan kita dalam mempedulikan nasib saudara kita di Gaza dan Palestin tetapi percayalah, waktu ini saudara kita di Syria kini lebih daif, amat memerlukan perhatian dan lebih penting untuk dibantu waktu ini.
“Semoga Allah memberikan bantuan kepada mujahidin dan rakyat Syria terdekat ini...”.
Sumber :
Ustaz Muhammad Abdul Malik Bin Abdul Karim
Penasihat Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)
Salam..bila ia akn berakhir kita tidak pasti..bumi indah penuhi dg darah ..kesedihan..ketakutan.
sy harap mereka semua akan dilindungi olehNYA selalu.
ramai yang mahu berkuasa dengan cara yang salah
sedangkan bila berbuat baik, lebih ramai yang akan sayang
pelik