Doa Pengharapan Seorang Hamba…
Antara Peristiwa-Peristiwa Bersejarah diBulan Rejab.
1. HIJRAH PERTAMA UMAT ISLAM
Hijrah ke Habsyah (Ethiopia) pada bulan Rejab tahun ke-7 sebelum Hijrah. Hal terbabit pihak musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah s.a.w. dan orang-orang mukmin ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah s.a.w. tentang derita yang mereka tanggung lalu Rasulullah s.a.w. memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.
Tujuan hijrah ini adalah untuk menyelamatkan iman dan mendapatkan keselamatan diri di samping untuk mencari tapak baru untuk Islam bertapak dan menyusun langkah untuk agenda seterusnya. Antara mereka yang berhijrah ke Habsyah ialah Sayidina Uthman r.a. dan isterinya Ruqiah anak Rasulullah s.a.w.
Jumlah mereka adalah 14 orang termasuk 4 orang wanita. Habsyah dipilih adalah kerana rajanya (Najasyi) dikenali dengan toleransi dan sikap terbukanya. Beliau tidak menukar umat Islam walaupun akan dijanjikan berupa segunung emas sebagai imbalan.
Setelah Islam kembali kuat dan membina ketamaduna tersendiri dibumi Madinah, Rasulullah s.a.w. telah mengutuskan Ja’afar bin Abi Thalib untuk mengajak Raja Najasyi memeluk Islam.
Isi Surat :
Dari Muhammad utusan Islam untuk An-Najasyi, penguasa Abyssinia (Ethiopia). Salam bagimu, sesungguhnya aku bersyukur kepada Allah yang tidak ada Tuhan kecuali Dia, Raja Yang Maha Suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Mengurniakan Keamanan, Yang Maha Memelihara, dan aku bersaksi bahwa Isa putra Maryam adalah ruh dhari Allah yang diciptakan dengan kalimat Nya yang disampaikan Nya kepada Maryam yang terpilih, baik dan terpelihara. Maka ia hamil kemudian diciptakan Isa dengan tiupan ruh dari-Nya sebagaimana diciptakan Adam dari tanah dengan tangan Nya. Sesungguhnya aku mengajakmu ke jalan Allah. Dan aku telah sampaikan dan menasihatimu maka terimalah nasihatku. Dan salam bagi yang mengikuti petunjuk ”.
2. KEMATIAN RAJA NAJASYI
Najasyi meninggal pada bulan Rejab tahun ke-9 Hijrah. Sayyidah Aisyah binti Abu Bakar melaporkan bahawa kubur Najasyi diliputii cahaya. Rasulullah mengadakan solat ghaib iaitu sembahyang jenazah dari jauh. Rasulullah tidak pernah solat jenazah ghaib sebelum ataupun sesudah meninggalnya raja Najasyi.
3. PERANG TABUK
Perang Tabuk didalam bulan rejab pada tahun ke-9 Hijrah. Ia terletak antara Hijaz dan Syam (Syiria). Dalam sejarah Islam, peperangan ini merupakan skop peperangan terakhir bagi Nabi Muhammad s.a.w. Ia dikenali juga dengan “Perang al-‘Usrah” kerana keadaan cuaca pada ketika itu adalah terlalu panas terik bahkan Tabuk merupakan destinasi padang pasir yang terlalu jauh.
Kebiasaan dalam peperangan Nabi s.a.w. tidak memberitahu lokasi dan destinasi yang hendak dituju kerana untuk merahsiakannya daripada pengetahuan musuh, namun pada peperangan Tabuk berlaku sebaliknya. Ini kerana besarnya persiapan dan perbekalan yang harus disiapkan kerana amat sukar perjalanannya agar semuanya dapat memperlengkapkan diri secukupnya bagi menghadapi angkatan musuh yang besar.
Namun dalam masa yang sama, ketika inlah Allah s.w.t. ingin memperlihatkan sikap sebenar golongan munafik yang mencari pelbagai alasan untuk menghindari diri mereka keluar berperang kerana kesukaran tersebut bahkan dalam masa yang sama mengajak pula sahabat-sahabat lain untuk bersama mereka.
Lalu Allah s.w.t. berfirman : “Orang yang ditinggalkan (tidak ikut ke medan perang) berasa gembira dengan tinggalnya mereka di belakang Rasulullah dan mereka tidak suka berjihad (menegakkan ajaran Allah) dengan harta dan jiwa mereka dalam jalan Allah, dan mereka berkata: Janganlah kamu berangkat(pergi berperang)dalam panas terik ini. Katakanlah(wahai Muhammad, api neraka lebih panas, jika mereka mengetahui.” (Surah At-Taubah,ayat:81)
Namun, Rasulullah s.w.t. hanya mempercayai tiga orang dikalangan mereka yang memberikan alasan tersebut kerana benar-benar jujur mengakui kesilapan mereka. Sebagai ‘iqab (denda) yang dikenakan kepada mereka sebagai peringatan, Rasulullah dan para sahabat memulaukan ketiga-tiganya selama hampir 50 hari sehinggalah datangnya Firman Allah s.w.t. :
“Terhadap tiga orang yang tidak keluar perang, hingga bumi terasa sempit bagi mereka (kerana dipulau oleh Nabi dan Sahabat) padahal bumi itu luas, lalu jiwa mereka pula menjadi sempit, serta mereka telah mengetahui bahawa tiada tempat lari dari pengajaran Allah melainkan kepada-Nya jua, kemudian Allah menerima taubat mereka agar mereka thabat dengan taubat mereka, seungguhnya Allah Maha Penerima Taubat dan Maha Penyayang”. (Surah al-Taubah : 118).
Pulangnya angkatan tentera Islam dari Tabuk tanpa berperang kerana bantuan tentera Allah melalui pengutusan Malaikat. Dikatakan semasa angkatan Rom ingin memasuki wilayah Tabuk, mereka telah digentarkan 100,000 malaikat yang menyamar sebagai panglima-panglima tentera Islam yang berpakaian serba putih, berbadan besar, sasa dan tegap disamping mempunyai sut serta alatan tempur yang lengkap seperti angkatan berkuda dan memanah. Hal tersebut segera mematahkan perasan tentera Rom untuk memerangi Islam.
4. ISRAK MIKRAJ RASULULLAH S.A.W.
Menurut catatan sejarah yang masyhur pada tanggal 27 didalam bulan Rejab tahun ke-11 dari masa kenabian beliau, merupakan peristiwa penting yang selalu diraikan setiap tahun oleh seluruh umat Islam dengan pelbagai amalan dan peringatan sebagai ‘ibrah (pengajaran).
Walaupun disana terdapat pelbagai khilaf dikalangan ulama’ pada menentukan tarikh dan tahun yang tepat namun seorang ahli sejarah Islam bernama Ibnu Saad telah mencatatkan dalam kitabnya al-Tobaqatil Qubra, bahawa berlaku Israk Mikraj terhadap Nabi s.a.w. ialah pada lapan belas bulan sebelum Nabi S.A.W. hijrah ke Madinah.
Israk ertinya berjalan manakala Mikraj ertinya diangkat kelangit menghadap Allah s.w.t. Dalam peristiwa tersebut Rasulullah dipertontonkan pelbagai perkara disetiap lapisan langit sehinggalah sampai ke hadrat Allah dengan difardhukan kepada Baginda dan semua umat Islam akan solat lima waktu.
Ianya sejarah penting memperlihatkan mukjizat Rasulullah s.a.w.
5. LAHIR IMAM SYAFIE R.A
Nama sebenar Imam Syafie ialah Muhammad bin Idris bin Abbas bin Uthman bin Syafie’. Beliau lahir di Ghazzah, Palestin pada bulan Rejab tahun 150 hijrah. Beliau adalah salah seorang dari empat imam mazhab yang besar dalam dunia Fiqh.
Antara jasa besar beliau adalah menggabungkan antara dua jenis institusi pengajian (madrasah Hadith di Hijjaz dan madrasah Ra’yu di ‘Iraq). Beliau juga ulama’ pertama yang menyusun dan menulis Kitab Usul Fiqh dan diberi nama al-Risalah.
Antara peninggalan imam Syafie yang tiada ternilai harganya dan menjadi rujukan sehingga sekarang ialah kitab al-Umm, al-Risalah, al-Hujjah, Ikhtilaful Hadith dan lain-lain.
6. PEMBEBASAN BAITUL MAQDIS
Baitul Muqaddis telah dibuka pada zaman Saidina Umar al-Khattab di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan perpecahan umat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah, golongan Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan ke atas Baitul Muqaddis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitul Muqaddis setelah 500 tahun dikuasai pemerintahan Islam. Tentera Salib tmenduduki Baitul Muqaddis hampir 60 tahun.
Setelah itu ia dibebaskan kembali oleh panglima Islam terkenal Salehuddin al-Ayubi. Beliau telah berjaya menawan kembali Baitul Muqaddis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H.
Pada tahun 1967 bersamaan 1387H umat Yahudi pula menawan Baitul Muqaddis (Palestin) dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.
KESIMPULAN
Alangkah manisnya apabila kita dapat menyatukan ibadat solat, puasa, zikir, tasbih, tahlil, tahmid, qiyam, sedekah dan kebaikan lain di bulan Rejab sebagai persediaan awal kepada pembukaan Bulan Ramadhan nanti. Semoga amalan Rejab ini menjadi pemangkin untuk mereka yang benar-benar dahagakan kejayaan dan anugerah Allah s.w.t.
Gelap malam pasti terang, sang mentari pasti datang. Pencarian hakikat Rejab sebenarnya datang menyuluh dan menerangi para mukmin. Sucikan kalam, amalan dan hati semata-mata kerana-Nya. InsyaAllah sinar keagungan Rejab mampu menjadi milik kita. Menjadi pemangkin keberjayaan kita dalam imtihan dunia dan akhirat.
Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Anas bin Malik, apabila tibanya bulan Rejab, Baginda mendoakan: “ Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan (hayat) kami kepada bulan Ramadan.”
Imam al-Baihaqi meriwayatkan daripada Imam Syafie berbunyi : “Telah sampai kepada kami Imam Syafie mengatakan : ‘Sesungguhnya doa itu mustajab pada lima malam : malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam pertama bulan Rejab dan malam nisfu Syaaban”.
“Membentuk Dengan Acuan Al-Azhar”
“Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan”
Disediakan oleh:
Muhammad Zuhairi bin Zainal Abidin
__________________________________________
RUJUKAN:
1. Kitab Lathoiful Maarif karangan Ibn Rejab al-Hanbali
2. Kitab Fiqh Sirah karangan Syeikh Saied Ramadhan al-Buthi
3. Kitab Mausu’ah Tarikhul Islami karangan Dr. Raghib al-Surjani
4. Kitab Manaqib al-Syafie karangan Imam Baihaqi
I have been browsing online greater than three hours as of late, yet I by no means discovered any interesting article like yours. It is beautiful value enough for me. In my opinion, if all web owners and bloggers made good content as you probably did, the web shall be much more useful than ever before.