Perbahasan Hukum Darah Nifas

Antara barang yang cepat Sold Out dan berebut rakyat marhaen beli Lihat Sini

Definisi Menurut Bahasa dan Istilah……

1. Bahasa

Nifas berasal daripada perkataan [نفس] yang bermaksud keluar. Perkataan nifas bermaksud kelahiran. Perempuan yang melahirkan anak dinamakan [نُفَسَاءُ].

2. Istilah

Darah yang keluar selepas bersalin. Adapun darah yang keluar sebelum dan ketika bersalin bukan dinamakan sebagai darah nifas.

 

PERBAHASAN ULAMA

Hukum Wanita Bernifas

Hukum wanita bernifas adalah sama seperti wanita yang didatangi haid kecuali dalam beberapa perkara iaitu iddah, istibrak dan baligh. Hal ini bermakna dia tidak boleh mengerjakan solat, puasa, iktikaf, tawaf, menyentuh al-Quran dan sebagainya.

Dia juga tidak boleh disetubuhi oleh suaminya selama dalam tempoh nifas. Dia juga tidak perlu menggantikan solat yang ditinggalkan semasa dalam nifas sebagaimana perempuan yang didatangi haid.

Dia hanya perlu menggantikan puasa yang ditinggalkan semasa dalam tempoh nifas. Saidatina Aisyah R.A berkata: “Kami didatangi haid di zaman Rasulullah S.A.W. lalu kami diperintahkan untuk mengggantikan puasa tetapi tidak menggantikan solat”.

[Sahih Muslim, Kitab Haid, Bab Wajib ke atas Perempuan Yang didatangi Haid Menggantikan Puasa Tanpa Perlu Menggantikan Solat, Jil:1, m/s:265, no:335]

Ummu Salamah R.A berkata: salah seorang isteri Nabi S.A.W melalui waktu nifas selama empat puluh hari. Nabi S.A.W tidak pula menyuruhnya menggantikan solat yang ditinggalkan semasa nifas.

[Sunan Abu Daud, Kitab Bersuci, Bab Tempoh Wanita Bernifas, Jilid 1, m/s: 83, No: 312, Darul Fikr]

Ijmak Ulamak

Ulamak bersepakat menyatakan bahawa perempuan yang bernifas sama seperti perempuan yang berhaid. Mereka tidak boleh mengerjakan solat semasa nifas.

Mereka juga bersepakat bahawa hukum perempuan bernifas sama seperti hukum perempuan yang didatangi haid sama ada dalam perkara wajib, haram, sunat dan makruh.

Perkara di atas disokong lagi dengan penggunaan lafaz nifas di dalam sesetengah hadis nabi S.A.W bagi menunjukkan maksud haid.

Ummu Salamah R.A berkata: “Sedang aku duduk sambil mengerengkan badan bersama dengan Rasulullah S.A.W dalam keadaan aku memakai pakaian yang diperbuat daripada bulu, tiba-tiba aku didatangi haid. Lalu aku mengundurkan diri untuk mengambil pakaian haidku. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda: “Adakah engkau didatangi nifas?”. Aku menjawab: “Ya”.

Promosi hanya RM1 sahaja grab now !!

[Sahih Bukhari, Kitab Haid, Bab Siapa yang menamakan Nifas sebagai Haid, Jil:1, m/s:115, no:294]

Perbezaan di antara Darah Nifas dan Haid:

Nifas bukan salah satu daripada tanda baligh. Sementara haid adalah tanda seorang perempuan itu mencapai usia baligh.
Bagi wanita yang diceraikan oleh suaminya, haid yang kali ketiga adalah penghujung iddahnya. Sementara nifas bukanlah dikira sebagai tempoh iddah seorang wanita.
Nifas adalah darah yang datang selepas kelahiran sahaja. Sementara haid tidak sahaja datang selepas kelahiran, tetapi ia juga datang semasa tidak melahirkan anak.
Tempoh nifas mungkin lebih panjang daripada tempoh haid disebabkan ia mungkin boleh berlanjutan selama enam puluh hari. Sementara haid tidak akan lebih daripada lima belas hari.
Haid dijadikan bukti rahim seorang perempuan itu bersih daripada mengandungi benih lelaki yang menyetubuhinya (Istibrak). Sementara nifas pula tidak dijadikan tanda bagi perkara tersebut.
Perbezaan di antara Darah Haid dan Nifas dengan Darah Istihadhah:

Darah haid dan darah nifas kedua-duanya keluar rahim. Sementara darah istihadah pula keluar dari sejenis urat yang dipanggil ‘azil’ atau ‘azir’.
Darah haid dan nifas menyebabkan seorang wanita itu dilarang daripada mengerjakan solat, puasa dan sebagainya. Manakala perempuan yang beristihadhah wajib mengerjakan kewajipan ibadah sebagaimana perempuan suci.
Wanita yang bernifas dan haid wajib mandi untuk mengangkat hadas setelah habis tempoh haid dan nifas. Sementara perempuan yang beristihadhah tidak diwajibkan ke atasnya mandi.
Wanita yang bernifas dan haid tidak boleh diceraikan semasa dalam tempoh haid dan nifas. Bagaimanapun, wanita yang beristihadah boleh diceraikan.
Tempoh Nifas

Para ulamak berselisih pendapat dalam menentukan tempoh minimum dan maksimum nifas bagi seorang wanita.

Sebahagian ulamak mengatakan tiada had minimum bagi nifas. Ini adalah pendapat Imam as-Syafie.

Sebahagian mereka meletakkan had baginya seperti empat hari, sebelas hari, dua puluh hari dan dua puluh lima hari.

Bagi tempoh maksimum pula, pendapat yang masyhur menyatakan ianya selama enam puluh hari. Namun kebiasaan wanita hanya mengalami nifas selama empat puluh hari.

Wallau A’lam.

 

“Membentuk Dengan Acuan Al-Azhar”
“Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan”

___________________________________________________
Sumber Rujukan:

1. Ibn Faris, Mukjam Maqayisul Lughah, jil 5, m/s 460, Dar al-Jil, Al-Jauhari, As-Sihah, jilid 3, ms 985, Dar al-Ilmi Lilmalayin.

2. Imam an-Nawawi, Raudhah at-Tolibin, Jil 1, m/s: 136, al-Maktab al-Islamiy.

3. Sunan Tirmizi, Jilid 1, m/s: 258, Dar Ihya’ at-Turath.

4. Imam as-Syaukani, Nailul Authar, jil:1, m/s:359, Dar al-jiel.

 

 

Disediakan oleh :

Rabiatul Adawiyah Bt Samsudin
Felo Manhal PMRAM

4 thoughts on “Perbahasan Hukum Darah Nifas”

  1. Alhamdulillah.
    Perkara2 melibatkan darah seperti ni amatlah wajar diketahui dengan jelas oleh seorang wanita, lebih2 lagi seorang isteri dan juga suami

    Terima kasih Saudara Wan Fauzi berkongsi =)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *