Asian Federation of Muslim Youth (AFMY) melahirkan kebimbangan terhadap pergolakan dan ketidakstabilan yang mulai berlaku di Yaman. Terbaru, serangan dan pertempuran di antara askar dan puak pemberontak Syiah Houthi di Universiti Al-Iman, Sana’a memberikan isyarat bahawa krisis ini semakin merebak jika tiada penyelesaian segera.
Yaman merupakan sebuah negara republik yang terletak di pinggir Barat Daya Semenanjung Tanah Arab (Barat Daya Benua Asia). Ianya juga bersempadan dengan Arab Saudi di sebelah utara Laut Arab (jarak 1,458 km) dan Teluk Aden di selatan, Oman di sebelah timur, (288 km) dan Laut Merah di sebelah barat dan mempunyai anggaran populasi penduduk sebanyak kira-kira 13 juta orang.
AFMY faktor ketidakstabilan negara Yaman kerana 4 faktor utama iaitu:
1) Cubaan penguasaan kuasa besar Amerika Syarikat kerana kedudukan geografi Yaman yang strategik.
Yaman secara umumnya mempunyai Selat dikenali ‘Bab Al Mandab‘ dan selat ini menghubungkan Laut Merah dan Teluk Aden. Bab Al Mandab ini mempunyai kedudukan yang paling strategik iaitu sebuah kawasan laluan perkapalan yang paling aktif di dunia.
Republik Yaman mempunyai 120 buah pulau, kebanyakannya di Laut Merah. Di antaranya ialah Socotra yang terletak di Lautan Hindi, Perim yang terletak di Bab Al Mandab dan Kamaran yang terletak di Laut Merah.
2) Perbezaan Aliran Mazhab.
Pertembungan di antara perbezaan aliran mazhab Sunni dan Syiah Zaidiyyah yang dikenali sebagai ‘Houthi’ memberikan kesan terhadap konflik di Yaman. Ini ekoran, pemimpin mereka iaitu Abdel Malek al-Huthi telah memberontak pada tahun 2004 terhadap pemerintah Yaman iaitu Presiden Ali Abdullah Saleh dan menuduh beliau telah meminggirkan komuniti Syiah secara politik dan ekonomi. Maka kekacauan lebih tertonjol berlaku mulai tahun 2011.
Seperti sedia maklum, Syiah Zaidiyah adalah antara mazhab Syiah yang paling hampir dengan mazhab Syafi’e dan tiada permasalahan di peringkat awal namun disebabkan tindakan Iran yang mempengaruhi Syiah Zaidiyyah di Yaman, maka konflik dan masalah mulai timbul.
Ini juga ekoran insiden pertumpahan darah di Dammaj pada tahun 2013 yang lepas dalam penguasaan masjid-masjid di antara kedua-dua aliran mazhab tersebut.
3) Ketokohan pemimpin Parti Islah dan pengasas Universiti Al-Iman, Syeikh Abdul Majid Az-Zindani.
Ketokohan dan keilmuan yang ada pada Syeikh Abdul Majid Az-Zindani dalam menggerakkan sistem pendidikan Islam di Yaman menyebabkan ada pihak yang berusaha untuk menjatuhkan dan menggugat pengaruh beliau.
Peranan ulama Yaman, Syeikh Abdul Majid dalam mengasas Universiti Al-Iman, Sana’a yang kini musnah akibat diserang oleh pemberontak Syiah Houthi menunjukkan petanda bahawa ada penentangan terhadap Syeikh Abdul Majid yang sebelum ini lantang terhadap Iran. Ulama Yaman tersebut mendakwa Iran merupakan punca dalam mempengaruhi Syiah Zaidiyyah di Yaman maka sejak itu masalah dan konflik mulai timbul.
4) Penentangan Gerakan Al-Qaeda terhadap pemberontak Syiah Houthi
Semenjak berlakunya pertempuran dan pertumpahan darah berlaku yang mengorbankan kira-kira seratus nyawa ke atas sebuah sekolah Salafi di Dammaj oleh kelompok militan Syiah Zaidiyyah iaitu Houthi pada tahun 2013 maka gerakan Al-Qaeda telah memberi ancaman berterusan kepada pemberontak Syiah Houthi.
Gerakan Al-Qaeda telah bersumpah untuk melancarkan serangan menuntut bela ke atas serangan yang telah dilakukan oleh Syiah Houthi di Dammaj sebelum daripada itu. Maka berlaku pertempuran di antara gerakan Al-Qaeda dan pemberontak Syiah Houthi dan pertempuran ini mengorbankan angka korban yang tinggi.
Selaras dengan gagasan AFMY untuk membawa mesej persaudaraan dan keharmonian seperti yang dianjurkan Islam khususnya di Asia, maka AFMY menggesa agar kestabilan di Yaman dapat dikembalikan semula agar angka korban tidak terus meningkat dan segala perselisihan dapat diselesaikan melalui jalan damai dan gencatan senjata.
Ini sangat penting bagi menghindari dan menutup ruang dan peluang campur tangan kuasa besar Barat yang sentiasa cuba mengambil kesempatan atas setiap krisis yang berlaku di negara-negara Asia Barat.
SUMBER :
Presiden Asian Federation of Muslim Youth
Harakahdaily.com