Diantara cara untuk menunjukkan bahawa kita cinta dan rindukan baginda sallallahu alaihi wasallam ialah dengan kita menyambut hari kelahiran baginda sallallahu alaihi wasallam.Menurut Doktor Umar Abdullah Kamil ,salah seorang ulama besar bermazhab syafie:
“Sesungguhnya majlis menyambut kelahiran baginda sallallahu alaihi wasallam merupakan salah satu daripada cara-cara pendekatan diri kita kepada Allah subhanahu wa taala.Ini kerana di dalam majlis-majlis sebegini dipenuhi dengan selawat ke atas junjungan besar Muhammad sallallahu alaihi wasallam,berzikir ,membaca al-Quran dan lain-lain jenis ibadat” .
Perbahasan yang ingin kita utarakan di dalam ringkasan kecil ini bukanlah untuk menceritakan secara terperinci berkenaan tarikh kelahiran baginda sallallahu alaihi wasallam dan perkara berkaitan dengannya kerana ianya boleh kita dapatkan di dalam kitab-kitab sirah nabawiyah yang ditulis oleh para ulama terkemuka.Penulis cuma ingin membincang sejauh mana perbahasan para ulama berkaitan keharusan kita menyambut Maulid Nabi sallallahu alaihi wasallam.
Moga-moga penulisan ini dapat memberikan kepada kita gambaran secara ringkas berkenaan sambutan Maulid Nabi sallallahu alaihi wasallam ini.Semoga Allah taala menerima penulisan ini sebagai bekalan untuk menujuNya dan sebagai bukti kecintaan kita kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam.
BILAKAH BERMULANYA SAMBUTAN MAULID NABI DILAKSANAKAN?
Al-Imam al-Suyuti rahimahullahu taala menyebutkan bahawa sambutan Maulid Nabi ini dimulakan oleh الملك المظفر أبو سعيد كوكبري بن زين الدين على بن بكتكين salah seorang raja yang sangat pemurah dan adil.Beliau juga menukilkan kalam al-Imam Ibn Kathir rahimahullah yang memuji raja tersebut dengan mengatakan bahawa raja tersebut seorang yang sangat adil,alim ,gagah dan beliau melaksanakan Maulid Nabi pada bulan Rabi’ul Awwal dengan sambutan yang sangat meriah .
ADAKAH KITA WAJIB MENYAMBUTNYA?
Tohmahan demi tohmahan yang dilemparkan oleh golongan yang menganggap sambutan Maulid ini sering kita dengari saban tahun. Dikatakan bahawa setiap kali sambutan sebegini disambut pasti berlakunya percampuran di antara lelaki dan wanita dan pelbagai lagi perkara kemungkaran yang berlaku.Mereka juga mengatakan bahawa golongan yang menyambut Maulid ini seolah-olah menganggap ianya seperti sambutan Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha.Di sini penulis ini menukilkan secara rawak kalam daripada salah seorang ulama besar iaitu al-Syeikh al-Sayyid Abu Hasanain Abdullah al-Husaini al-Makki al-Hasyimi rahimahullah:
[1] الاحتفال بالمولد النبوي بين المؤيّدين و المعارضين مناقشات و ردود mukasurat 10-11
Maksudnya: Sesungguhnya sambutan Maulidurrasul tersebut bukanlah merupakan satu perayaan dan kami sendiri tidak mengatakan bahawa ianya merupakan hari raya.Ini kerana ianya lebih besar, lebih agung, dan lebih mulia daripada hari raya itu sendiri. Hari Raya tidak akan kita sambut melainkan setahun sekali sahaja.Tetapi Maulidurrasul ini dan mengambil perhatian tentang Baginda sallallahu alaihi wasallam serta sirahnya merupakan satu kewajipan yang perlu dilaksanakan sepenjang masa bukan hanya pada waktu-waktu tertentu sahaja.Sesiapa yang mengatakan bahawa ianya merupakan hari raya( yang patut disambut setahun sekali sahaja) maka mereka merupakan orang-orang yang jahil.Ini tidak berlaku(menyebutkan bahawa maulidurrasul adalah hari raya) melainkan kepada orang-orang biasa (awam) dan golongan ini tidaklah bermaksud bahawa sambutan ini merupakan hari raya yang dimaksudkan oleh Syarak.Ini tidak lain hanya merupakan adat bagi manusia ,jika hari tersebut hari yang menggembirakan dan menyeronokkan maka mereka menamakan hari tersebut sebagai hari raya.”
Beliau menyebutkan lagi di dalam kitab yang sama:
“و معلوم أنه ليس عندنا في الإسلام إلا عيدان الفطر و الأضحى,لكن يوم المولد أكبر و أعظم من العيد و إن كنّا لا نسميه عيدا,فهو الذي جاء بالأعياد و الأفراح, و من حسناته كل الأيام العظيمة في الإسلام , فلولا مولده صلى الله عليه وسلم ما كانت البعثة ,ولا نزول القرآن ,ولا الإسراء و المعراج ,ولا الهجرة, و لا النصر في بدر , ولا الفتح الأعظم ,لأن كل ذلك متعلق به صلى الله عليه و سلم و بمولده الذي هو أبو تلك الخيرات العظيمة”[1]
[1] الاحتفال بالمولد النبوي بين المؤيّدين و المعارضين مناقشات و ردود mukasurat 11
Maksudnya: Sudah jelas lagi bersuluh,di dalam Islam tiada lagi perayaan yang lain selain dua perayaan iaitu hari raya aidil fitri dan aidil adha.Tetapi hari Maulidurrasul ini merupakan hari yang lebih besar dan agung daripada kesua hari raya tersebut walaupun kita tidak menamakannya sebagai hari raya.Baginda sallallahu alaihi wassalam adalah individu yang membawa kepada kita segala kegembiran tersebut.Kalaulah bukan dengan kelahiran baginda maka tiadalah kebangkitannya sebagai Rasul,tiadalah diturunkan al-Quran,tiadalah isra’dan mi’raj, tiadalah hijrah,tiadalah pertolongan ketika peperangan Badr,dan tiadalah Hari Fathu Makkah(pembukaan kota Makkah).Ini kerana semuanya yang berlaku adalah mempunyai kaitan dengan kelahiran baginda sallallahu alaihi wasallam.Maka Baginda adalah bapa dan penyebab kepada segala kebaikkan yang kita kecapi.
Pendapat yang disebutkan oleh al-Syeikh Sayyid Abu Hasanain rahimahullah amat jelas dan jitu.Sesiapa yang memahaminya dengan baik pasti akan terbuka hatinya.
APAKAH HUKUM KITA MENYAMBUT MAULID?
Secara jelasnya kita menyebutkan bahawa hukum menyambut Maulid adalah Sunnah.Disini kita akan sebutkan secara terperinci satu persatu dalil yang penulis nukilkan daripada tulisan al-Syeikh Doktor Umar Abdullah Kamil hafizahullah secara ringkas:
Dalil pertama:HARUS BAGI KITA MEMBESARKAN HARI-HARI DAN TEMPAT-TEMPAT KELAHIRAN PARA NABI BERDASARKAN AL-QURAN DAN AL-SUNNAH
Di antaranya ialah:
1. Kita membesarkan hari Jumaat kerana ianya merupakan hari diciptakan Nabi Allah Adam alaihi salam.
2. Saidina Syaddad bin U’wais meriwayatkan:
أمر جبريل عليه السلام النبيَ صلى الله عليه و سلم بصلاة ركعتين ببيت لحم ثم قال له: أتدري أين صليت؟ قال :لا, قال: صليت ببيت لحم حيث وُلد عيسى.
Maksudnya: Saidina Jibril alaihissalam pernah menyuruh baginda Sallallahu alaihi wasallam menunaikan solat dua rakaat di Baitullaham.Kemudian Saidina Jibril alaihissalam bertanya kepada Baginda Sallallahu alaihi wasallam: Tahukah kamu dimanakah kamu bersolat tadi?Maka Baginda menjawab :Aku tidak tahu. Kata Saidina Jibril alaihissalam: Kamu telah menunaikan solat di Baitullaham dimana Saidina Isa alaihissalam dilahirkan.
3. Kesejahteraan dan keselamatan pada hari Nabi-Nabi lain dilahir disebutkan secara jelas di dalam al-Quran.Firman Allah taala di dalam surah Maryam ayat 33 menceritakan kata-kata Nabi Allah Isa alaihissalam:
وَالسَّلَامُ عَلَيَّ يَوْمَ وُلِدْتُ وَيَوْمَ أَمُوتُ وَيَوْمَ أُبْعَثُ حَيًّا (33)
Maksudnya: dan segala keselamatan dan kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat).
Dalil kedua: KISAH ABU LAHAB MEMBEBASKAN THUWAIBAH AL-ASLAMIYAH KERANA GEMBIRA DENGAN KELAHIRAN BAGINDA SALLALLAHU ALAIHI WASALLAM
Al-Imam Ibn Kathir rahimahullahu taala menyebutkan di dalam kitab Bidayah wa al-Nihayah:
(( Wanita yang mula-mula menyusukan baginda sallallahu alaihi wasallam ialah Thuwaibah yang merupakan hamba kepada Abu Lahab.Dia dimerdekakan oleh Abu Lahab sebaik sahaja memberitahu tentang kelahiran Baginda sallallahu alaihi wasallam kepada Abu Lahab.))
Al-Imam Suhaili rahimahullahu taala dan para ulama lain menyebutkan di dalam kitab-kitab mereka:
Maksudnya: Sesungguhnya Abu Lahab menyebutkan kepada saudaranya al-Abbas di dalam mimpi :Sesungguhnya dia dilepaskan daripada seksaan kubur setiap hari Isnin.
Jika Abu Lahab yang dicela oleh Allah taala di dalam al-Quran dikurangkan seksaannya hanya kerana gembira dengan kelahiran baginda Sallallahu alaihi wasallam,apatah lagi kepada golongan mukminin yang gembira dengan kelahiran baginda sallallahu alaihi wasallam.Pendapat sebegini juga disebutkan oleh al-Imam al-Hafidz Syamsuddin bin al-Jazari rahimahullahu taala di dalam kitabnya:
al-Imam al-Hafidz Syamsuddin bin Nasiruddin al-Dimasyki menyebutkan sebuah syair didalam kitabnya:
((مورد الصادي في مولد الهادي))
إذا كان هذا كافرا جاء ذمه
بتبت يداه في الجحيم مخلّدا
أتى أنه في يوم الاثنين دائما
يخفف عنه للسرور بأحمدا
فما الظن بالعبد الذي طول عمره
Maksudnya: Jika si kafir(Abu Lahab) yang telah dicela dirinya,
Di dalam surah Tabbat(Surah al-Lahab) yang mana akan kekal selamanya di dalam neraka,
Pada setiap hari Isnin Maka Dia akan,
Diringankan daripada Seksaan kerana Gembira dengan kelahiran baginda Sallallahu alaihi wassalam,
Apatah lagi dengan seorang hamba yang sepanjang hidupnya,
Bergembira dengan kelahiran baginda Sallallahu alaihi wasallam(Adakah mereka tidak akan dibebaskan daripada seksaan api neraka?)
Menurut Al-Ustaz Doktor Yusuf Kahttar Muhammad hafizahullah,salah seorang ulama daripada Syria :
((Hadis Abu Lahab dibebaskan daripada seksaan pada hari Isnin kerana gembira dengan kelahiran baginda sallallahu alaihi wasallam diriwayatkan oleh sebahagian besar para ulama hadis dan sirah.Antaranya ialah al-Imam Abdul Razak San’ani,al-Imam al-Bukhari,al-Imam Ibn Hajar al-Asqallani,al-Hafidz al-Baihaqi,Imam Ibn Hisyam,al-Imam Suhaili,al-Hafidz Baghawi,al-Imam Ibn Daiba’,al-Imam al-Asyqar, dan al-Imam al-A’miri))
Dalil ketiga: BAGINDA SALLALLAHU ALAIHI WASALLAM SENDIRI MENYAMBUT HARI KELAHIRANNYA DENGAN BERPUASA PADA HARI ISNIN
Al-Imam Muslim meriwayatkan di dalam Kitab Sahihnya:
Maksudnya: Diriwayatkan daripada saidina Abu Qatadah radhiyallahu anhu :Sesungguhnya Baginda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam pernah ditanya tentang puasa pada hari Isnin.Maka Sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam: Ianya merupakan hari aku dilahirkan dan pada hari tersebut juga wahyu mula disampaikan kepadaku.
Ini merupakan dalil yang jelas menunjukkan tentang sambutan Maulid Nabi sallallahu alaihi wasallam.Mungkin cara sambutan akan berbeza tetapi maksudnya tetap sama samaada kita berpuasa pada hari tersebut,memberi makan atau berkumpul untuk melaksanakan majlis zikir dan selawat ke atas Junjungan besar sallallahu alaihi wasallam .
Sambutan Maulid bukanlah semata-mata kita bergembira pada hari tersebut.Tetapi pada hari tersebut kita digalakkan untuk mengadakan majlis bagi memperingati sirah perjuangan baginda sallallahu alaihi wasallam dan segala yang berkaitan tentang perjuangan baginda sallallahu alaihi wasallam.Perkara sebegini perlu kerana ianya akan menambahkan lagi kecintaan kita kepada baginda sallallahu alaihi wasallam dan keimanan kita kepada Allah dan Rasulnya akan semakin kukuh.
Sambutan sebegini juga akan menyegarkan ingatan kita kepada baginda sallallahu alaihi wasallam dan perkara ini disyariatkan di dalam Islam.Kita dapati di dalam ibadah haji juga terdapat banyak bentuk ibadah di dalamnya yang ianya merupakan cara untuk mengingati peristiwa-peristiwa lepas yang berlaku di sesuatu kawasan tersebut seperti Sa’i di antara Safa dan Marwa ,melontar Jamrah,menyembelih di Mina dan sebagainya merupakan peristiwa-peristiwa bersejarah yang pernah berlaku.Ini dilakukan semula sebagai cara untuk memperingati peristiwa-peristiwa bersejarah tersebut.
SYUBHAH PERTAMA
Jika seseorang mengatakan: Sesungguhnya sambutan Maulid Nabawi ini merupakan perkara yang tidak pernah dilakukan oleh golongan Salaf dan ianya juga tidak berlaku pada zaman para sahabat. Maka ini jelas menunjukkan bahawa ianya merupakan suatu perkara bid’ah yang diharamkan serta wajib kita tentangi perkara ini.
JAWAPAN
Tidaklah tepat jika kita berpendapat mengatakan bahawa setiap perkara yang tidak dilakukan pada zaman permulaan Islam maka ianya dianggap bid’ah yang haram. Kalaulah kita boleh meletakkan hukum sedemikian, maka perbuatan Saidina Abu Bakr al-Siddiq, Saidina Umar al-Khattab dan Saidina Zaid radhiyallahu’anhum mengumpulkan al-Quran akan dianggap perkara yang haram. Begitu juga dengan perbuatan Saidina Umar radhiyallahu’anhu yang mengumpulkan para sahabat dengan Imam yang satu di dalam menunaikan solat Tarawih. Beliau juga menyebutkan kalam beliau yang masyhur : نعمت البدعة هذه(sebaik-baik bida’ah yang dilakukan adalah perkara ini). Banyak lagi perbuatan yang akan menjadi haram jika hanya semata-mata kita meletakkan setiap perkara yang tidak dilakukan pada zaman permulaan Islam adalah bid’ah yang haram. Antaranya ialah mengumpulkan ilmu-ilmu Islam, membuat tempat untuk beribadah, membina sekolah, hospital, rumah anak-anak yatim, penjara dan lain-lain akan menjadi haram.
Sepatutnya bagi kita melihat kepada dalil-dalil yang diletakkan oleh Syarak. Jika perkara yang ingin kita laksanakan tersebut membawa kepada maslahah yang wajib dilaksanakan maka hukumnya juga adalah wajib, jika ianya haram maka hukumnya juga adalah haram dan begitulah seterusnya. Setiap perkara yang baharu yang ingin dilaksanakan yang berbetulan dengan kaedah yang syarak letakkan dan tidak berniat untuk melakukan perkara yang bercanggah dengan hukum Allah taala maka ianya merupakan sebahagian daripada agama Islam.
Disebabkan perkara inilah para ulama meletakkan hadis yang dilafazkan oleh baginda sallallahu ‘alaihi wasallam iaitu :كل بدعة ضلالة bermaksud menunjukkan kepada bid’ah yang sesat dan salah bukannya kepada semua jenis bid’ah. Ini dikuatkan dengan dalil daripada hadis baginda sallallahu alaihi wasallam :
Jika orang yang mengingkari mengatakan:Sesungguhnya sambutan Maulid dilakukan pada Rabi’ul Awwal. Kita sedia maklum bahawa baginda sallallahu alaihi wasallam juga wafat pada bulan ini. Jadi mengapa kita mesti gembira dengan kelahirannya tetapi tidak bersedih dengan kewafatan baginda sallallahu alaihi wasallam?
JAWAPAN
Al-Imam Suyuti rahimahullahu taala menjawab persoalan ini dengan mengatakan: Sesungguhnya kelahiran baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam adalah merupakan sebesar-besar nikmat kepada kita, manakala kewafatan baginda sallallahu alaihi wasallam adalah merupakan sebesar-besar musibah kepada kita. Seperti kita sedia maklum juga, Syarak menggalakkan kita untuk bergembira dengan kelahiran seseorang dan syarak juga menunjukkan kepada kita agar berdiam ketika ditimpa musibah. Syarak juga menggalakkan kepada kita untuk melaksanakan ibadah aqiqah bilamana seorang bayi lahir tetapi syarak tidak mengarahkan kepada kita untuk menyembelih ketika berlakunya kematian. Maka dalil yang dapat kita ambil daripada kaedah yang telah diletakkan oleh syarak adalah sepatutnya kita bergembira dengan kelahiran baginda sallallahu alaihi wasallam bukan menzahirkan kesedihan pada hari tersebut.
SYUBHAH KETIGA
Jika golongan yang mengingkari mengatakan: Sesungguhnya sambutan Maulid ini seolah-olah terlalu mengagungkan baginda sallallahu alaihi wasallam. Sedangkan baginda juga adalah manusia biasa. Malah baginda pernah menyebutkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad radiyallahuanhu :
Maksudnya: Janganlah kamu mengagungkan aku sebagaimana golongan Nasrani mengagungkan Isa bin Maryam, sesungguhnya aku hanya seorang Hamba Allah dan RasulNya.
Disini penulis ingin memetik jawapan yang diberikan oleh guru kita al-Fadhil al-Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam al-Nadwi al-Maliki hafizahullah :
((Memuji dan menyebut kemuliaan akhlak baginda sallallahu alaihi wasallam sudah menjadi satu tradisi dan amalan yang dilakukan oleh umat Islam turun temurun sejak daripada zaman Rasulullah sallallahu alaihi wasallam sendiri sampai ke hari ini. Di sepanjang sejarah bermacam-macam jenis pujian dan sanjungan yang telah dirafa’kan keharibaan baginda sallallahu alaihi wasallam. Namun orang masih belum lagi merasa puas memujinya. Terasa seperti sudah kelu lidah penyair dalam puisi dan syair-syair mereka namun pujian untuk Baginda masih belum dirasa sampai kepada kemuncaknya. Amalan yang seperti ini bukanlah keterlaluan seperti yang dianggap oleh sesetengah pihak tetapi ia merupakan sebahagian dari luahan perasaan kasih sayang dan rasa cinta yang begitu mendalam sekali terhadap kekasih Allah dan makhluk Allah yang paling sempurna ini. Kerana bagaimana jua pun pujian yang disanjungkan namun pujian itu tidak akan sampai kepada kemuncaknya dan belum dapat menyebutkan segala keistimewaannya yang telah dikurniakan Allah subhanahu wa taala kepada baginda sallallahu alaihi wasallam.
Perkara ini adalah berasaskan kepada fahaman para ulama terhadap pujian Allah subhanahu wa taala terhadap baginda sallallahu alaihi wasallam dalam surah al-Qalam ayat 4:
Jadi Allah subhanahu wa taala Zat Maha Agung lagi Maha Mulia telah memuji ketinggian akhlak baginda sallallahu alaihi wasallam maka sudah tentu pujian Allah taala ini nilainya melebihi sebarang pujian makhluk manusia terhadap baginda sallallahu alaihi wasallam. Bagaimana pujian makhluk dapat menandingi pujian Allah taala. Ini adalah satu perkara yang tidak mungkin terjadi. Maka sudah pasti kita tidak akan sampai kepada kemuncak pujian yang sepatutnya terhadap baginda sallallahu alaihi wasallam.
Atas alas an inilah maka al-Imam al-Bushiri rahimahullah menyebut dalam Burdahnya di dalam bait 43 dengan katanya:
Perkataan Imam Bushiri rahimahullah ini bermaksud asalkan engkau jangan melampaui batas dalam memuji baginda sallallahu alaihi wasallam seperti orang Kristian telah melampaui batas memuji Nabi Isa alaihi salam sehingga mengatakannya sebagai tuhan, Maka engkau bebas memuji baginda sallallahu alaihi wasallam dengan apa jua perkataan. Contohnya engkau boleh mengatakan Baginda itu sebaik –baik makhluk, nur yang menyinari alam, penghulu segala nabi dan rasul,makhluk yang paling dikasihi Allah taala, insan yang paling sempurna, hamba yang paling bertaqwa kepada Allah dan sebagainya. Tetapi engkau tidak boleh mengatakan Baginda sallallahu alaihi wasallam itu zat yang berkuasa, memiliki takdir, dapat menghidupkan dan mematikan, pencipta syurga dan neraka dan seterusnya apa jua pujian yang menunjukkan makna ketuhanan maka kita tidak boleh memuji Baginda sallallahu alaihi wasallam sampai ke tahap itu .
Al-Syeikh Abbdul Qadir Isa rahimahullahu taala menjawab juga persoalan ini dengan mengatakan:
((Dalil yang digunakan oleh golongan ini adalah batil dan tidak benar, Ini kerana pujian dan pengagunggan yang dilarang ialah bentuk pengagunggan seperti yang dilakukan oleh golongan Nasrani terhadap nabi Allah Isa alaihi salam. Mereka meletakkan bahawa Nabi Isa alaihi salam anak Allah taala dan menyekutukan Allah taala .
Firman Allah taala di dalam surah al-Taubah:
Firman Allah taala lagi di dalam surah al-Maidah ayat 73:
Manakala pujian dan pangagungan yang dilakukan ketika majlis sambutan Maulid tidaklah melebihkan Baginda sallallahu alaihi wasallam sehingga mengeluarkan lebih daripada seorang makhluk.Maka hadis tersebut bukanlah dalil kepada golongan wahabiah.))
Jawapan-jawapan yang diberikan oleh para ulama tersebut sudah jelas dan tidak perlu diperkotak-katikkan lagi. Penulis menemukan pendapat daripada al-Syeikh Muhammad Abu Thuai’lik berkenaan mengapakah para sahabat tidak menyambut Maulid pada zaman mereka. Beliau mengatakan bahawa ini berkemungkinan kerana para sahabat pada ketika tersebut terlalu banyak tugas yang perlu dilaksanakan seperti berjihad, menyusun daulah dengan mengemaskinikan sistem pendidikan, ekonomi dan siasah. Maka perkara ini mungkin menyebabkan mereka tidak sempat melaksanakannya.Ini tidak menafikan mereka berkemungkinan menyambut Maulid tersebut secara persendirian atau bersama keluarga dan bukan dilakukan secara majlis yang gilang-gemilang
Universiti Al-Azhar As-Syariff.
Blog awak nie agak popular kat FB … ramai kawan2 share pos2 dari blog awak… saya nak mintak izin share gak la .. 🙂