Keistimewaan Lailatul Qadar Malam Seribu Bulan

Lailatul Qadr Malam Seribu Bulan

Lailatul Qadar atau Malam Al-Qadr merupakan suatu malam yang dikhususkan kepada umat Nabi Muhammad S.A.W. Sebahagian ulama’ menyebut bahawa ia adalah malam yang berlaku sekali pada setiap Ramadhan sehingga hari kiamat, bukannya hanya sekali ketika zaman wahyu diturunkan.

Diriwayatkan oleh Atha’ daripada Ibnu Abbas r.a. bahawa beliau menceritakan kepada Nabi S.A.W. tentang seorang lelaki Bani Israel yang berjuang di jalan Allah S.W.T. selama seribu bulan. Nabi S.A.W. sangat kagum mendengar khabar tersebut dan baginda berharap agar umatnya diberikan beberapa kelebihan.

Baginda bersabda : Wahai Tuhan, Engkau telah menjadikan umatku pendek umurnya, dan sedikit amalnya. Maka Allah S.W.T. mengurniakan Lailatul Qadar yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu tempoh lelaki Bani Israel tersebut yang berjuang di jalan Allah kepadamu dan umatmu sehingga hari kiamat”.

Sebahagian Sejarawan Islam menyebutkan bahawa seorang lelaki pada zaman dahulu tidak dinamakan sebagai ‘abid (orang yang melakukan ibadah) melainkan jika dia beribadah kepada Allah S.W.T. selama seribu bulan. Maka Allah S.W.T. mengurniakan kepada umat Nabi S.A.W malam Lailatul Qadar, apabila mereka menghidupkannya adalah lebih layak digelar sebagai ‘abid berbanding ‘abid pada zaman dahulu.

Pendapat yang paling tepat ialah malam lailatul qadar dikurniakan kepada umat nabi Muhammad S.A.W. sehingga hari kiamat, bukannya sekali sahaja ketika zaman Nabi S.A.W. kerana hadith-hadith shohih menerangkan ia berlaku pada beberapa malam yang berlainan dan ini tidak akan berlaku melainkan tempohnya berterusan sehingga ke hari kiamat.

 

Kenapa Dinamakan Malam Al-Qadr?

Maksud Al-Qadr dapat diterjemahkan kepada dua makna :

1. Kedudukan yang tinggi seperti apabila kita menyebutkan di dalam bahasa Arab – فلان ذو قدر iaitu “dia seorang yang mempunyai kedudukan yang tinggi”.

2. Penentuan hukum dan pemberian hak manusia. Hal ini kerana pada malam Lailatul Qadar Allah S.W.T. menurunkan Al-Quran dari Luh Mahfuz ke langit dunia yang di dalamnya terkandung pelbagai hukum dan panduan kehidupan manusia.

 

Waktu Berlakunya Malam Al-Qadr

Perselisihan para ulama’ kemudiannya tertumpu kepada beberapa perkara :

1. Adakah ia hanya berlaku dalam bulan Ramadhan?

• Kebanyakan mereka mengatakan ia hanya khusus pada bulan Ramadhan berdasarkan firman Allah S.W.T. :

شهر رمضان الذي أنزل فيه القرءان

Ertinya : Bulan Ramadhan yang diturunkan padanya Al-Quran.

Firman Allah S.W.T. lagi :

إنا أنزلنه في ليلة القدر

Ertinya : sesungguhnya kami menurunkannya (Al-Quran) pada malam Al-Qadr.

Maka berdasarkan dua ayat ini, malam Lailatul Qadar adalah malam yang diturunkan padanya Al-Quran.

• Sebahagian Mereka mengatakan ia berlaku bukan sahaja dalam bulan Ramadhan malah turut berlaku dalam bulan-bulan yang lain.

2. Perselisihan seterusnya pada pendapat pertama yang mengatakan ia berlaku dalam bulan Ramadhan : Adakah ia berada pada malam-malam dalam bulan ini atau hanya di 10 malam yang terakhir?

• Sebahagian Ulama’ mengatakan ia berlaku pada malam-malam dalam bulan Ramadhan.
• Kebanyakan Mereka menyebut ia berlegar sekitar sepuluh malam terakhir khususnya pada malam-malam yang ganjil.

Lailatul Qadar

 

Hikmah Disembunyikan Malam Lailatul Qadr

1. Ia bertujuan untuk mengagungkan bulan Ramadhan keseluruhannya supaya manusia beribadah kepada Allah S.W.T. bukan memilih kepada malam-malam tertentu. Samalah keadannya apabila Allah S.W.T. menyembunyikan keredhaanNya dalam ketaatan hamba kepadaNya agar hamba tersebut melakukan semua ketaatan demi mendapatkan redha tuhannya.

2. Mengajar manusia supaya bersungguh dalam mengerjakan ibadah kepada Allah S.W.T. dalam malam-malam yang ditempuhi di bulan Ramadhan. Hal ini kerana mereka tidak mengetahui malam Lailatul Qadar yang sebenar, yang seterusnya akan meningkatkan semangat mereka dalam melaksanakan ibadah dalam bulan ini pada setiap malam.

3. Menambah ganjaran disebabkan sikap bersungguh yang ada dalam mendapatkan malam tersebut selain ganjaran ibadah yang dilakukan. Hal ini berbeza dengan ibadah yang dikerjakan tanpa kesungguhan disebabkan telah mengetahui malam manakah berlakunya Lailatul Qadar.

Kelebihannya : Hadis Nabi S.A.W. :

من قام ليلة القدر إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه

(Barangsiapa yang menghidupkan malam Al-Qadr dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan dosanya yang telah lalu).

 

Antara Amalan Yang Digalakkan :

1. Berdoa :

اللهم إنك عفو كريم تحب العفو فاعف عني

Ertinya : Ya Allah, Engkau yang Maha Pengampun dan Maha Mulia. Engkau sememangnya suka mengampunkan (kesalahan) maka ampunilah aku.

2. I’tikaf pada 10 malam yang terakhir, moga-moga ia akan diperolehi pada salah satu daripadanya.

3. Memperbanyakkan ibadah seperti solat-solat sunat, membaca Al-Quran, berzikir dan sebagainya.

Antara Petanda Malam Lailatul Qadar : Malamnya tenang, tidak panas atau sejuk dan lautan tidak bergelora. Juga suara anjing menyalak tidak kedengaran dan apabila tiba keesokan harinya sinaran matahari kurang memancarkan cahayanya seolah-olah keadaan pagi tersebut seperti berkabus.

*Digalakkan apabila seseorang melihat petanda ini pada pagi keesokan harinya untuk memperbanyakkan doa dan ibadah sepertimana pada malam harinya.

 

 

Rujukan Dari Nukilan :
Syeikh Ali Ahmad Al-Jarjawi (Ulama’ Al-Azhar)
kitab Hikmah At-Tasyri’ Wa Falsafatuh 
Markaz Pengumpulan Kajian & Hasil Penyelidikan (PMRAM)

 

2 thoughts on “Keistimewaan Lailatul Qadar Malam Seribu Bulan”

Leave a Reply to Rina Cancel Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *