Beriman dengan Kitab Allah

“Kitab” bererti, “sesuatu yang ditulis”. Namun yang dimaksud disini adalah kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah kepada para Rasul-Nya sebagai rahmat dan hidayah bagi seluruh manusia agar mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. Iman kepada kitab merangkumi empat aspek:…

1. Mengimani bahawa kitab-kitab tersebut diturunkan oleh Allah.

2. Mengimani kitab-kitab yang sudah kita kenali namanya seperti Al Qur’an yang diturunkan kepada Nabi Muhammad , Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa , Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa, dan Zabur yang diturunkan kepada Nabi Daud.

3. Membenarkan apa yang terkandung didalam kitab-kitab tersebut.

4. Mengamalkannya serta patuh dan taat pada hukum tersebut.

 

Wajib berpegang bahawa terdapat kitab-kitab suci yang telah diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasul-rasulNya, untuk disampaikan kepada kaum-kaumnya. Kitab-kitab tersebut banyak, tetapi yang wajib diketahui hanyalah empat yang tersenarai ..

a. Kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa AS
Kitab Taurat telah diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Musa a.s. dalam bahasa Ibrani. Dalam Kitab Taurat ini terkandung hukum syarak dan keyakinan yang betul. Ia
juga menerangkan bahawa seorang nabi akhir zaman (Nabi Muhammad s.a.w.) akan lahir dari keturunan Nabi Ismail a.s. Kitab Taurat yang asli tidak ditemui lagi pada masa sekarang kerana isinya telah ditokok tambah oleh orang-orang yahudi.

b. Kitab Zabur yang diturunkan kepada Nabi Daud AS
Kitab Zabur telah diturunkan oleh Allah swt. kepada Nabi Daud a.s. dalam bahasa Qibthi. Kitab Zabur tidak mengandungi hukum perundangan. Kandungannya hanya mengenai perkhabaran, cerita, zikir, doa serta hikmah-hikmah. Oleh sebab itu Nabi Daud tidak mempunyai syariat tersendiri. Dia dan umatnya hanya mengikut syariat yang dibawa oleh Nabi Musa.

c. Kitab Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa AS
Kitab Injil diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Isa a.s. dalam bahasa Suryani. Di antara kandungannya yang utama ialah menyeru umat manusia agar mengEsakan Allah s.w.t. Kitab Injil juga memberitakan akan kelahiran seorang nabi dan rasul diakhir zaman iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Orang-orang Yahudi telah mengingkari akan kebenaran Allah s.w.t. Mereka telah menghimpunkan kitab-kitab ini menjadi satu yang diberi nama “bible” kemudian mereka ubah isi kandungannya mengikut kehendak hati mereka agar berkesesuaian dengan kehidupan mereka seharian.

-Bible ini terbahagi kepada dua bahagian besar:-
1. Bahagian Taurat yang dinamakan dengan Perjanjian Lama (Old Testament).
2. Bahagian Injil yang dinamakan dengan Perjanjian baru (New Testament).

d. Kitab al Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW
Kitab suci Al Quran adalah sebuah kitab yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Al Quran diturunkan dalam bahasa Arab. Di dalam Al Quran mengandungi hukum-hukum serta peraturan yang lengkap meliputi seluruh aspek kehidupan manusia, sama ada untuk mencapai kemakmuran hidup di dunia mahupun untuk kebahagiaan hidup di akhirat. Ajaran yang disampaikan di dalam Al Quran sesuai untuk seluruh umat manusia dipermukaan bumi ini tidak kira bangsa dan keturunannya. Ajaran yang termuat di dalam Al Quran lengkap dan sempurna, ia tidak akan berubah dan kekal selama-lamanya bahkan ia tetap dipelihara oleh Allah s.w.t.

 

1 thought on “Beriman dengan Kitab Allah”

Leave a Reply to suri Cancel Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *